AM

PROGRAM SANTUNI MADANI: PHB PILIH KAMPUNG PALU-PALU SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT

25/02/2025 12:47 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), sebuah syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) memilih Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu di Sabah sebagai kampung angkat di bawah Program Santuni MADANI yang dilancarkan di kampung itu hari ini.

Menerusi program terbabit, ia dapat menyantuni penduduk kampung dengan menumpukan kepada apsek pembangunan pendidikan dan sosioekonomi, apatah lagi ia juga sinonim dengan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit yang merupakan anak jati kampung berkenaan.

Mohamad Damshal berkata PHB komited untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup penduduk kampung itu melalui program pendidikan.

“Sebagai permulaan program, PHB memperuntukkan bantuan pendidikan bernilai RM50,000 yang terdiri daripada bantuan kelas tambahan bagi subjek teras kepada lebih 50 pelajar dan kelas pengajian al-Quran kepada 43 orang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa di sekitar Kampung Palu-Palu.

“Inisiatif program kelas tambahan memberi fokus kepada mata pelajaran seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah bagi pelajar tahun enam, calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) itu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Palu-Palu.

Selain itu, katanya bantuan juga akan disalurkan kepada kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak dan golongan dewasa, bagi memperkukuh pemahaman terhadap al-Quran.

Mohamad Damshal berkata Program Santuni MADANI ialah usaha jangka panjang dengan PHB akan terus memberikan komitmen untuk terlibat secara langsung dalam libat urus bersama komuniti kampung bagi menangani isu sosioekonomi, seperti keciciran pendidikan bagi memastikan generasi muda mendapat peluang pendidikan yang baik kerana ia kunci untuk meningkatkan sosioekonomi individu.

“Santuni MADANI, yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan memperkasakan potensi kampung dan meningkatkan keupayaan masyarakat.

“Inisiatif ini membabitkan libat urus berterusan antara pemimpin daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan bagi memahami isu setempat serta menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

“Secara tidak langsung, pemimpin dapat beri semula kepada rakyat melalui inisiatif yang dilaksanakan. PHB berharap usaha ini dapat membawa perubahan positif kepada Kampung Palu-Palu dan menjadi contoh bagi kampung lain dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan