AM

ISU RUU PEMBAHARUAN SEMULA BANDAR, BANJIR ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI 

25/02/2025 08:27 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Isu berkait cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar dan langkah proaktif bagi menangani banjir pada musim monsun dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan berkenaan cadangan RUU itu khususnya komitmen kerajaan dalam memastikan tiada pemilik diusir secara paksaan daripada pemilikan tanah atau premis, akan dikemukakan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri. 

Soalan berhubung langkah proaktif bagi menangani banjir pada setiap kali musim monsun dan faktor luar jangka di kawasan yang sering dilanda banjir serta berpotensi dilanda banjir pada masa akan datang pula bakal diajukan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Dalam sesi soal jawab, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai skim bantuan yang tersedia untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana di negara ini semasa tempoh peralihan apabila gaji minimum baharu dilaksanakan.

Persoalan mengenai langkah masa depan kerajaan bagi memastikan gaji minimum pekerja dalam tempoh lima tahun dapat dinaikkan daripada RM1,700 sebulan sekarang kepada tahap kadar kemiskinan negara, iaitu RM2,208 sebulan pula, dijadualkan diajukan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang). 

Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Kesihatan mengenai jumlah pengguna yang mendaftar di setiap wellness hub menerusi Program I Fit and Eat Right (IFitEr) di seluruh negara, kos pembinaan bagi setiap hab berkenaan dan kaedah penilaian keberkesanan program itu. 

Usai sesi berkenaan, Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 diikuti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membentangkan RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali pertama.

Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan sesi penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh beberapa kementerian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan