EKONOMI

SABAH EKSPORT NANAS MD2 PERTAMA DI BAWAH PROGRAM IPR-INTAN

25/02/2025 09:32 PM

KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Sabah hari ini mencatat sejarah dalam sektor pertanian apabila buat pertama kalinya berjaya mengeksport 15 tan Nanas MD2 hasil daripada Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri berkata eksport ke luar negara itu menandakan kejayaan IPR INTAN di bawah program Usahawan Tani yang dikendalikan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

"Penghantaran pertama ini akan diterima oleh syarikat Rompin Integrated Pineapple Industries (ROMPINE), membuktikan bahawa hasil pertanian Sabah kini mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

“Sebagai negeri yang kaya dengan sumber pertanian, kita tidak boleh bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja. Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah strategik untuk memperkenalkan pelbagai jenis pertanian, termasuk tanaman Nanas MD2 yang berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Eksport Pertama Nanas Segar MD2 Ke Luar Negeri di Pelabuhan Sepanggar di sini hari ini.

Projek penanaman Nanas MD2 berkenaan bermula pada 2023 dengan peruntukan RM11.04 juta daripada Kementerian Ekonomi, diikuti tambahan RM16.58 juta pada tahun lepas bagi memperluaskan kawasan ladang. 

"Kerajaan turut memperuntukkan RM4 juta untuk membangunkan Pusat Pengumpulan dan Pembungkusan Nanas di Kota Marudu dan memperkukuhkan rantaian bekalan. LIGS selama ini terkenal dengan peranannya untuk sektor getah, kini berjaya memperluaskan penglibatannya dalam sektor pertanian bernilai tinggi,’’ katanya.

Kejayaan itu adalah bukti bahawa LIGS bukan sekadar memajukan sektor getah tetapi juga berupaya membawa perubahan besar kepada pekebun kecil melalui pertanian moden.

“Kajian mendalam telah dijalankan untuk mengenal pasti potensi tanaman yang mampu memberikan pulangan tinggi, stabil di pasaran, dan sesuai dengan keadaan iklim serta tanah di Sabah… hasilnya, Nanas MD2 dikenal pasti sebagai tanaman yang paling sesuai untuk dibangunkan secara berskala besar,” katanya.

Beliau berkata projek seumpama itu juga adalah contoh bagaimana LIGS mampu membawa perubahan besar kepada pekebun kecil dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah secara keseluruhan.

"LIGS tidak hanya berperanan dalam pembangunan pekebun kecil getah, tetapi juga telah menyumbang secara ketara kepada ekonomi Sabah melalui pelbagai pencapaian.

“Saya yakin LIGS akan melebarkan lagi sayap dalam menerajui industri hiliran berasaskan getah dan kayu getah yang akan memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negeri, seterusnya meningkatkan daya saing industri getah Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Jeffrey juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi, LIGS, petani, serta syarikat rakan strategik seperti ROMPINE dan Una Crop yang telah memastikan kejayaan inisiatif itu.

Katanya kerajaan negeri akan terus menyokong sektor pertanian yang berorientasikan pasaran, bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan petani, tetapi juga bagi keterjaminan makanan di peringkat negeri dan negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan