EKONOMI

PETRONAS NILAI LANGKAH PENYUSUNAN SEMULA TENAGA KERJA

25/02/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menilai langkah penyusunan semula saiz tenaga kerjanya yang turut melibatkan pendekatan daripada peringkat tertinggi hingga peringkat terendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat itu berhasrat untuk memuktamadkan strategi penyusunan semula saiz tenaga kerjanya menjelang pertengahan 2025.

"Pada separuh kedua tahun ini, anda akan menyaksikan struktur organisasi ini dilaksanakan secara berperingkat. Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini tidak bertujuan untuk mengurangkan pekerjaan sebanyak 15,000 hingga 16,000," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 hari ini, beliau menafikan dakwaan bahawa langkah penyusunan semula ini akan memberi keutamaan kepada pengurusan atasan sehingga menjejaskan pekerja lain.

Menurutnya penyusunan semula ini akan membabitkan seluruh peringkat.

"Sebahagian pihak mengatakan ini merupakan langkah perlindungan, dengan pengurusan atasan akan dilindungi manakala mereka yang tidak mempunyai kuasa dalam keputusan berkenaan akan terkesan jika kami memutuskan pelaksanaan penyusunan semula ini.

“Kumpulan pertama yang akan terkesan adalah daripada pihak pengurusan dan seterusnya," katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai langkah mengurangkan pekerjaan, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk memberhentikan pekerja secara besar-besaran.

"Seperti yang dilaporkan banyak pihak, kami mempunyai 15,000 hingga 16,000 'pemangkin' yang merangkumi semua fungsi sokongan. Adakah anda membuat kesimpulan bahawa laporan yang mendakwa saya akan menghapuskan 16,000 (pekerjaan) itu tepat?

"Ini adalah mustahil. Kami perlu melihat perkara ini dengan bijak dan memberi ruang kepada perniagaan untuk menyatakan apa yang diperlukan," katanya sambil memaklumkan pekerja yang terjejas atau dipindahkan akan diberikan layanan yang adil.

Ketika ditanya sama ada hasil dan pembayaran dividen kepada kerajaan pada masa akan datang akan terjejas berikutan strategi peruntukan modal Petronas, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa pembayaran dividen akan bergantung kepada kemampuan syarikat dan kelulusan lembaga pengarah.

"Kami akan memenuhi dividen yang dicadangkan dan diperlukan berdasarkan kemampuan. Ia akan mengambil kira keperluan kami untuk terus beroperasi.

“Oleh itu, perlu ada penampan tunai yang mencukupi untuk menampung keperluan modal kami dalam tempoh tiga hingga enam bulan," katanya.

Petronas telah membayar dividen sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan berdasarkan prestasinya pada tahun kewangan 2024.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan