BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

27 PROTON E.MAS 7 DISEDIAKAN SEBAGAI PENGANGKUTAN RASMI PERMUKIMAN AEM

26/02/2025 01:29 PM

KOTA TINGGI, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 27 buah kenderaan elektrik (EV) nasional pertama Proton e.MAS 7 disediakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai pengangkutan rasmi sempena Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, dekat sini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan MITI Ikhwan Nasir Abu Hanipah berkata kenderaan itu bertujuan membawa wakil-wakil utama Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ASEAN sepanjang mesyuarat berkenaan.

"Ketika ini, ia digunakan bagi membawa delegasi Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) dan delegasi Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM)," katanya kepada Bernama.

Permukiman AEM dan mesyuarat berkaitannya berlangsung di Desaru dari 22 hingga 28 Feb ini.

Ia bermula dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 pada 22 hingga 23 Feb, diikuti HLTF-EI yang diadakan bermula 24 hingga 25 Feb.

Susulannya, Prep-SEOM diadakan pada 26 dan 27 Feb, manakala kemuncak acara Permukiman AEM akan berlangsung 28 Feb ini dengan dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam permukiman ini, para menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasa kemampanan dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

Sebelum AEM ke-31, sebanyak 61 unit Proton e.MAS 7 juga digunakan sebagai kereta rasmi bagi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 untuk membawa wakil-wakil utama Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) semasa Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi bulan lepas. 

AMM merupakan pembuka tirai untuk tahun yang sibuk dan penting bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Pada akhir Okt 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan EV bakal digunakan sebagai kereta rasmi pemimpin ASEAN ketika menghadiri acara-acara kenegaraan semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Proton e.Mas 7 dilancarkan di pasaran tempatan pada 16 Dis lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan