BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

MALAYSIA TEGASKAN KEPENTINGAN KEKAL KESTABILAN LAUT CHINA SELATAN, PERCEPAT RUNDINGAN COC

26/02/2025 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan selain memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan mempercepat rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan semasa sesi sarapan bersama rakan sejawatnya Pham Minh Chinh awal pagi tadi.

Beliau berkata dalam isu Myanmar pula, Malaysia mendesak kemajuan yang nyata dan mampan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengelakkan krisis itu daripada terus memburuk.

“Malaysia percaya bahawa hubungan yang kukuh antara negara serantau adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Kita tidak boleh sekadar melihat ke belakang, tetapi perlu melangkah ke hadapan dengan strategi perencanaan jelas dan tindakan yang memberi dampak positif, yang nyata kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar berkata Malaysia dan Vietnam berkongsi jaringan hubungan yang kukuh dengan lonjakan baharu melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.

Ia tidak sekadar perjanjian atas kertas, tetapi satu komitmen untuk menyemarakkan kerjasama dalam pelbagai sektor utama iaitu perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital dan keselamatan serantau, katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan