BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 EKONOMI

DODOL MAKNDAK SASAR BUKA KILANG BAGI TINGKATKAN PENGELUARAN PADA 2025

26/02/2025 02:28 PM

 

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KOTA TINGGI, 26 Feb (Bernama) -- Dodol Makndak, sebuah perniagaan mikro yang diusahakan seorang usahawan wanita di Pontian, menyasarkan untuk membuka sebuah kilang mini tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran.

Halinda Haron, 50, berkata mini kilang ini akan memudahkan proses mendapatkan pensijilan Halal dan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Kami perlukan kilang mini ini bagi memudahkan kami mendapatkan sijil Halal dan MeSTI. Pada masa kini, kami menghasilkan dodol di belakang rumah, jadi kami merancang untuk membuka kilang mini yang lebih tersusun, bersih dan selesa untuk dikunjungi pelanggan.

“Dengan adanya sijil Halal, kami boleh memasarkan produk dengan lebih meluas. Walaupun baru dalam pasaran, produk kami telah mendapat sambutan yang baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Pusat Konvensyen Desaru Coast di sini.

Pengusaha dodol itu turut berkongsi sebanyak tiga tan dodol berjaya dijual pada tahun lepas, dan pengeluaran dodol juga dijangka meningkat kepada 800 kilogram hingga satu tan tahun ini.

“Pasaran kami lebih tertumpu kepada kedai makan dan kedai runcit. Tahun ini, kami berjaya memperluaskan pasaran (produk) melalui penyertaan dalam acara-acara besar seperti Permukiman AEM kali ini.

“Platform dalam talian seperti TikTok turut membantu kami memasarkan produk. Alhamdulillah, walaupun baru lima tahun dalam pasaran, kami berjaya mencapai jualan sebanyak tiga tan,” katanya.

Halinda bagaimanapun berkata kenaikan harga kelapa merupakan cabaran utama dalam pengeluaran dodol.

Kekurangan bekalan kelapa turut menyumbang kepada peningkatan kos pembuatan dodol.

“Cabaran utama pada 2025 adalah kenaikan harga kelapa. Dahulu, harga kelapa sekitar RM1 hingga RM1.50 sebiji. Kini, harganya mencecah RM2.60 hingga RM2.80 sebiji, peningkatan hampir RM80 hingga RM90 bagi setiap 100 biji kelapa,” katanya.

Meskipun berdepan cabaran tersebut, Halinda tetap mengekalkan harga jualan dodol sekitar RM15 sehingga RM30 kerana tidak mahu membebankan pelanggan, terutamanya penggemar dodol.

Permukiman AEM pada 28 Feb ini akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Mesyuarat berkaitan berlangsung dari 22 hingga 27 Februari bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sekali gus mencerminkan aspirasi Malaysia dalam menyumbang ke arah pengukuhan komuniti ASEAN yang terangkum dan mampan.

Antara agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN adalah meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan