BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ahli-ahli Parlimen mencadangkan supaya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diperkasa sehingga menjadi agensi berita global dan suara Malaysia di peringkat antarabangsa.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata Bernama, sebagai sebuah agensi berita mempunyai peranan penting dalam melaporkan berita tepat bukan hanya di dalam negara, tetapi di peringkat ASEAN dan global.
"Kalau Menteri Komunikasi dapat memulakan perubahan ini adalah baik...supaya Bernama dapat bermain di peringkat lebih luas, di peringkat ASEAN, di peringkat global,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang BERNAMA (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sekiranya peranan Bernama diperkasa, suara Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, selain lantang dalam isu-isu kemanusiaan global seperti konflik di Gaza dapat disampaikan kepada masyarakat antarabangsa.
Mengambil contoh Al Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar dan British Broadcasting Corporation (BBC), Hassan berkata organisasi media itu menjadi rujukan berita di peringkat global.
Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula berharap Bernama dapat memainkan peranan lebih aktif dan proaktif dalam digital media pada masa kini.
Beliau berkata kerajaan perlu melihat penambahbaikan bagi menjadikan platform media sosial Bernama sebagai pilihan utama rakyat kerana agensi berita itu memainkan peranan penting dalam menangani berita-berita palsu.
Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) juga bersetuju supaya Bernama segera disegarkan bagi berdepan arus transformasi digital dan persaingan sengit organisasi media di negara ini dalam menyampaikan berita yang sahih dan diyakini rakyat.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam menambah mutu Bernama ke arah menjadi peneraju dalam penerbitan berita dan kandungan yang lebih berwibawa,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan Rang Undang-Undang BERNAMA (Pindaan) 2024, antaranya bertujuan menjadikan industri media lebih inklusif.
Pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780) yang kali pertama dibuat sejak akta itu digubal pada 1967, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan lapan Ahli Parlimen.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata penggubalan RUU tersebut bertujuan memastikan komposisi baharu yang lebih dinamik sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa industri media.
Fahmi berkata RUU itu bukan sekadar menawarkan reformasi kepada landskap media dan digital, malah akan menjadikan aspek komunikasi kerajaan lebih efektif dalam mendepani cabaran semasa.
RUU itu meminda Seksyen 2 Akta 780 bagi memasukkan satu tafsiran baharu “organisasi media” yang merangkumi bukan sahaja media cetak (surat khabar dan apa-apa medium percetakan) tetapi turut meliputi komunikasi massa iaitu media elektronik dan digital, seiring dengan ledakan teknologi dan digital masa kini.
-- BERNAMA