BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan penstrukturan semula industri keluli Malaysia bagi mengukuhkan kemampanan, selain mengiktirafnya sebagai sektor strategik negara.
Justeru, Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) dan Persatuan Keluli Malaysia (MSA) mengenai cabaran serta prospek industri itu.
“Menyedari cabaran ketara yang dihadapi oleh sektor ini sepanjang dekad yang lalu, MITI menggesa kedua-dua persatuan tersebut bekerjasama rapat dengan kementerian untuk membangunkan pelan penstrukturan semula yang komprehensif dan mendapat persetujuan semua pihak dalam industri,” kata MITI dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata, isu utama yang dibangkitkan ketika perbincangan tersebut adalah tarif ke atas aluminium dan keluli yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang dijangka berkuat kuasa pada 12 Mac.
“Tarif itu boleh menyebabkan kemasukan keluli yang pada asalnya ditujukan kepada Amerika Syarikat tetapi kemudiannya dihantar ke pasaran Asia Tenggara, sekali gus berpotensi menjejaskan industri keluli Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA