BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

ESSZONE KEKAL STABIL, TIADA INSIDEN PENCULIKAN DIREKODKAN SEJAK 2020 - SHAMSUL ANUAR

26/02/2025 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) kekal stabil dengan rekod tiada insiden penculikan berlaku sejak 15 Jan 2020 hingga kini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kejayaan itu ialah hasil daripada keberkesanan operasi bersepadu yang dijalankan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kerjasama erat pasukan keselamatan negara dan pihak berkuasa Filipina.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh ESSCOM, potensi ancaman militan dan aktiviti penculikan di sempadan perairan negara berada pada tahap terkawal, aman dan rakyat Sabah jangan bimbang ketika ini.

“Perkembangan itu dibantu dengan operasi ketenteraan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Filipina yang telah melemahkan aktiviti gerakan ASG (Kumpulan Abu Sayyaf) atau KFRG (kumpulan penculikan untuk wang tebusan). Pengaruh dan gerakan kumpulan berkenaan untuk bergiat aktif di pantai timur Sabah turut menurun ketika ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu sama ada penubuhan ESSCOM berjaya menambah baik tahap keselamatan melibatkan kes penculikan ataupun kejadian lain yang direkodkan berlaku di ESSZone bermula 2015 hingga kini.

Shamsul Anuar berkata berdasarkan rekod ESSCOM, sebanyak 20 anggota ASG telah ditembak mati manakala 17 anggota KFRG ditangkap sejak 2015.

“Beberapa sub leader ASG juga telah berjaya ditangkap dan ditembak mati serta sel ASG turut tumpas di Pulau Timbang, Sandakan masing-masing pada Mei dan Ogos 2021 melalui operasi khas dikoordinasi ESSCOM sehingga menyebabkan ASG dan KFRG hampir lumpuh dari segi keupayaan untuk melakukan serangan dan penculikan. 

“Dalam hubungan ini, sebanyak 41 orang telah ditangkap kerana terbabit dengan kumpulan pengganas melalui operasi khas ESSCOM sejak 2018. Daripada jumlah itu, ESSCOM berjaya menumpaskan lima sel ASG yang merancang untuk menjadikan wilayah ini sebagai kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata ESSCOM sentiasa berwaspada dan meletakkan tahap pemantauan keselamatan dan risikan yang utama terhadap ancaman kumpulan militan asing serta elemen jenayah rentas sempadan sebagai fokus kajian yang diteliti dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata keputusan kerajaan meletakkan ESSCOM di bawah pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2 Julai 2018 adalah tepat dengan mengambil kira bahawa ancaman yang dihadapi masa kini di kawasan ESSZone tertumpu kepada aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Oleh itu, inisiatif untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam wajar diterajui oleh jabatan dan agensi di bawah KDN yang mempunyai kepakaran untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan.

“ESSCOM berhadapan dengan isu rentas sempadan seperti penculikan, militan, penyeludupan barang kawalan atau subsidi, barang tanpa cukai serta kemasukan pendatang tanpa izin yang merupakan isu-isu penguatkuasaan berkaitan ketenteraman awam berbanding isu kedaulatan di dalam negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang ingin tahu alasan operasi ESSCOM diletakkan di bawah KDN sedangkan ancaman sebenar di kawasan terbabit datangnya dari luar terutama dari Selatan Filipina.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan