KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Penyerang sensasi Kuching City FC Jordan Mintah mempamerkan ketajaman luar biasa dengan mencetak hatrik bagi membantu pasukannya menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.
Kuching City tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mintah yang tidak dikawal tenang menanduk masuk bola hantaran Tchetche Kipre yang terlebih dahulu terkena palang seawal minit ketiga.
Tiga minit kemudian, pemain import dari Ghana itu terus menyengat apabila meledak gol kedua menerusi rembatan deras dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah Muhammad Alfaiz Zula’Amin.
Mintah melengkapkan malam gemilangnya dengan hatrik pada minit ke-59, sekali lagi menerusi tandukan hasil hantaran lambung Kipre dari sebelah kanan, sekali gus memastikan tiga mata penuh buat Kuching City yang kini menghuni tangga kelima dengan 27 mata.
Dalam aksi berasingan, Kuala Lumpur (KL) City FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menundukkan PDRM FC 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kapten pasukan Paulo Josue dan penyerang muda Muhammad Haqimi Azim Rosli, masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada separuh masa pertama dan kedua sebelum PDRM merapatkan jurang menerusi jaringan pemain tengah gantian Chidi Osuchukwu di hujung permainan.
Kemenangan itu membolehkan skuad The City Boys naik satu anak tangga ke tempat keenam dengan 25 mata selepas 20 perlawanan.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC kembali ke landasan kemenangan selepas dua kekalahan berturut-turut dengan menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Skuad kendalian Nantha Kumar Kalliappan memperoleh dua gol menerusi penyudah Muhammad Harith Samsuri pada minit ke-40 dan A. Selvan pada minit ke-86 untuk mengesahkan kemenangan berharga itu.
-- BERNAMA