AM

SEMAKAN BERKALA PERLU BAGI PELAKSANAAN GARIS PANDUAN AI DI SEKTOR AWAM

28/02/2025 11:06 AM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kerajaan dan pihak berwajib digesa melaksanakan semakan berkala terhadap pelaksanaan Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) di sektor awam bagi memastikan ia kekal relevan serta mampu menangani cabaran masa depan.

Bendahari Persatuan Internet Kebendaan (IoT) Malaysia Pathmanathan Muniandy berkata garis panduan itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan kecekapan sektor awam malah memainkan peranan penting dalam melindungi hak rakyat dengan memastikan penggunaan AI berlandaskan etika dan prinsip ketelusan.

Beliau berkata garis panduan berkenaan perlu merangkumi mekanisme pemantauan ketat bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan teknologi.

"Sebagai contoh, pemantauan berterusan terhadap penggunaan AI dalam sektor kesihatan dan keselamatan amat penting kerana sebarang kesilapan dalam pemprosesan data boleh membawa implikasi besar kepada rakyat.

"Pelaksanaan garis panduan ini tidak seharusnya terhenti sekadar penerbitan dokumen semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan pemantauan berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan turut menekankan kepentingan latihan berterusan kepada penjawat awam bagi memastikan mereka memahami teknologi AI dengan lebih mendalam serta kesan penggunaannya.

"Bagi mencapai tujuan ini, kerajaan perlu melabur dalam program latihan dan pembangunan kemahiran AI agar penjawat awam tidak ketinggalan dalam memahami teknologi terkini.

"Dengan ini, mereka dapat mengaplikasikan AI dengan lebih cekap dan penuh tanggungjawab," katanya.

Selain itu, sektor awam dan swasta perlu bekerjasama dalam membangunkan ekosistem AI yang berdaya tahan, dengan perkongsian kepakaran antara kedua-dua sektor dapat mempercepat pemindahan teknologi dan memastikan inovasi AI dimanfaatkan sebaiknya.

"Keupayaan AI dalam memproses maklumat dengan pantas bukan sahaja dapat mengurangkan  birokrasi malah mampu mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Secara langsung, ia juga akan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan