JENAYAH & MAHKAMAH

KES ZULFARHAN: ENAM BEKAS PENUNTUT UPNM TERLEPAS HUKUMAN MATI, PENJARA 18 TAHUN KEKAL

28/02/2025 01:52 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman itu dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kesemua lelaki itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.

Enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Nov 2021 menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam lelaki itu selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.

Bekas penuntut yang kini berusia 29 tahun itu, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017. 

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan