JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS RAMPAS LEBIH 29,000 LITER DIESEL BERSUDSIDI DIPERCAYAI CUBA DISELUDUP

28/02/2025 02:02 PM

SIBU, 28 Feb (Bernama) -- Polis merampas lebih 29,000 liter diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup bernilai lebih RM63,000 dalam serbuan di sebuah premis penyimpanan di Jalan Ding Lik Kwong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata 10 suspek berumur 30-an hingga 50-an yang terdiri daripada warga tempatan dan asing turut ditahan dalam operasi dari 12 tengah hari hingga 3 petang itu.

Beliau berkata operasi dilancarkan oleh anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

”Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM575,693.50 dan kes ini telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sibu untuk siasatan lanjut," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan IPD Sibu hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya pada perhimpunan itu Zulkipli menekankan kepentingan anggota polis untuk menguasai teknologi terkini seperti sistem pengawasan, analisis data, dan kecerdasan buatan (AI) dalam penguatkuasaan undang-undang. 

Beliau berkata peningkatan jenayah siber memerlukan persediaan ilmu dan kemahiran tinggi dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM bagi memastikan keselamatan negara terpelihara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan