KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- TH Plantations Bhd (THP) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM75.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (TK2024), daripada RM46.62 juta pada tahun sebelumnya, berikutan meningkatnya keuntungan dalam operasi.
Hasil turut meningkat 16.72 peratus kepada RM877.73 juta pada TK2024 daripada RM752.03 juta pada 2023.
“Peningkatan ini disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada ladang kelapa sawit, peningkatan dalam jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) serta harga purata yang direalisasikan lebih tinggi bagi MSM, isirung sawit dan buah tandan segar (BTS),” kata kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat, THP mengumumkan keuntungan bersihnya meningkat dua kali ganda kepada RM30.18 juta berbanding RM12.28 juta pada suku yang sama tahun lepas, manakala hasil bertambah kepada RM270.42 juta daripada RM216.5 juta sebelumnya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia kekal komited untuk meningkatkan operasi dan kemampanannya dengan meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kos, dan mengguna pakai amalan agronomi terbaik selaras dengan inisiatif Al-Falah 22/22 (pelan perniagaan strategik lima tahun).
"Usaha paling penting terutamanya penanaman semula dan mekanisasi, telah dilaksanakan untuk menangani cabaran industri seperti hasil yang rendah dan kekurangan tenaga buruh," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Datuk Dr Ahmad Kushairi Din berkata lembaga pengarah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 3.00 sen sesaham, meningkat 50 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menunjukkan komitmen kumpulan untuk menyampaikan nilai kepada para pemegang saham.
"Keputusan kewangan THP yang mengagumkan bagi TK2024 mencerminkan keberkesanan operasi kami, yang sejajar dengan pelan perniagaan strategik THP," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengukuhkan kecekapan operasi, mengemudi pasaran yang mencabar dan memacu penciptaan nilai jangka panjang dengan semangat “Ukhwah” – usaha kolaboratif ke arah komitmen bersama untuk kecemerlangan.
-- BERNAMA