AM

IMBAU TRAGEDI NGERI, BERDOA KEJADIAN TIDAK BERULANG SETIAP KALI TERLIHAT HIGHLAND TOWERS

28/02/2025 08:53 PM

SHAH ALAM, 28 Feb (Bernama) -- Tragedi runtuhan kondominium Highland Towers yang mengorbankan 48 penghuni kira-kira 32 tahun lepas melakar sejarah hitam kepada rakyat Malaysia, termasuk pesara bomba Datuk Dr Soh Chai Hock. 

Beliau yang ketika itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengakui sentiasa berdoa agar kejadian sama tidak berulang setiap kali terlihat baki blok Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang dari jauh.

“Setiap kali melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang atau terlihat Highland Towers di internet, saya tidak pernah terlepas berdoa dan terkenang suasana di lokasi tragedi yang masih segar dalam ingatan sehingga hari ini.

“Ketika itu, kita (bomba) tidak cukup pengetahuan dengan tragedi runtuhan melibatkan bangunan apatah lagi peralatan menyelamat, namun saya sedar pasukan sedang menantikan arahan daripada saya untuk menjalankan tugas serta-merta,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pesara Bomba dan Waris JBPM Selangor di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat JBPM Selangor itu dihadiri kira-kira 500 pesara yang pernah bertugas sebagai pegawai dan anggota bomba di negeri berkenaan.

Dalam kejadian pada 1.35 tengah hari 11 Dis 1993 itu, bangunan 12 tingkat yang juga Blok 1 Highland Towers yang menempatkan 50 unit kediaman runtuh, dan bomba mengambil masa selamat 12 hari untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Peristiwa itu menjadi titik mula kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) JBPM, khususnya dalam aspek operasi menyelamat selain menyaksikan penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) setahun kemudian.

Mengenang detik cemas itu, Soh berkata operasi menyelamat berdepan kekangan besar kerana pasukan bomba hanya bergantung kepada tangga, tali dan beberapa kenderaan tetapi tetap bersemangat menyelamatkan mangsa sama ada hidup atau meninggal dunia.

"Saya berbangga dengan pegawai dan anggota yang terlibat, dan semua misi berjaya disudahkan dengan bantuan banyak pihak termasuk pasukan menyelamat dari luar negara antaranya Jepun dan Perancis," katanya yang bersara pada 1999.

Mengulas mengenai perkembangan kemahiran dan peralatan bomba ketika ini, Soh berkongsi rasa bangga atas kepekaan memperkukuhkan peralatan serta mempertingkatkan latihan anggota bomba bagi menghadapi bencana besar.

Beliau berkata dalam konteks semangat kebersamaan dalam pasukan, mana-mana ketua wajar memahami cabaran yang dihadapi anggota di lapangan kerana setiap tugasan berdepan risiko serta menuntut komitmen penuh.

“Kita perlu tahu keadaan anggota, penat lelah mereka di lapangan dan sentiasa ada semangat kebersamaan tanpa mengira agama dan bangsa kerana secara tidak langsung dapat membangkitkan motivasi serta semangat anggota untuk memberikan khidmat terbaik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan