JENAYAH & MAHKAMAH

PEKERJA BOLEH KEMUKA KETERANGAN IKUT KEADAAN SAHKAN MAJIKAN DESAK LETAK JAWATAN

28/02/2025 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Keterangan mengikut keadaan atau circumstantial evidence boleh dikemukakan ketika perbicaraan di Mahkamah Perusahaan sebagai bukti wujudnya desakan daripada majikan kepada pekerja untuk meletakkan jawatan.

Peguam Mohd Suharin Sulaiman Siew berkata antara keterangan itu seperti komitmen kewangan terkini pekerja yang menunjukkan keadaan tidak mewajarkan peletakan jawatan secara tiba-tiba. 

“Contohnya komitmen bayaran pinjaman bank, kos menyara keluarga dan sebagainya. Selain itu, berhenti dalam keadaan tiada pekerjaan baharu, juga boleh dijadikan sebagai bukti,” katanya ketika menjadi jemputan program POV bertajuk Kena Buang Kerja? Ini Solusinya, di Bernama Radio, baru-baru ini.

POV merupakan program perspektif bukan persepsi yang telah memasuki musim keempat tahun ini. Menampilkan panel tetap penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim bagi membincangkan isu-isu semasa yang bersiaran setiap Selasa, pada 5.15 petang, di Bernama Radio.

Mohd Suharin berkata kebiasaannya seseorang pekerja yang hendak meletakkan jawatan secara rela hati akan mempunyai perancangan teratur untuk memastikan keadaan kewangan dan sumber pendapatan mereka terjamin.  

“Sebagai contoh, situasi yang melibatkan seorang anak guam saya, dia ada mendapatkan perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), jadi mana mungkin dia meletakkan jawatan dan ketika itu juga, anak guam saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan alternatif.

“Ini adalah keterangan mengikut keadaan untuk menyatakan peletakan jawatan itu dipaksa, terdapat unsur luar yang memaksa dia tandatangan surat berkenaan,” kata peguam bela dan peguam cara itu yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dalam mengendalikan kes-kes di Mahkamah Perusahaan.

Mohd Suharin berkata Mahkamah Perusahaan mempunyai kuasa untuk menyemak sama ada surat peletakan jawatan yang dikemukakan oleh seseorang pekerja itu adalah atas kerelaan sendiri atau paksaan.

“Terdapat kes setelah mahkamah mendapati surat peletakan jawatan ditaip majikan, hakim memutuskan pekerja berkenaan telah meletakkan jawatan tanpa kerelaan sendiri. Mahkamah berpendapat jika seseorang individu itu mahu meletakkan jawatan, seharusnya dia sendiri yang akan menyediakan surat berkenaan” katanya.

Beliau berkata bagi pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan termasuk yang dipaksa untuk meletakkan jawatan dan tidak berpuas hati dengan penamatan tersebut, mereka disaran mendapatkan nasihat perundangan dan membawa kes berkenaan ke mahkamah untuk keadilan. 

“Setiap penamatan mesti ada sebab. Apabila perkhidmatan pekerja ditamatkan, majikan perlu menyatakan sebab. Sekiranya tiada sebab dinyatakan, pekerja boleh bertanya kepada majikan sebab ditamatkan perkhidmatan. Ini wajar dilakukan oleh pekerja secara bertulis berbanding lisan," katanya.

Mohd Suharin berkata pekerja yang tidak berpuas hati dengan penamatan perkhidmatan mereka, boleh mengemukakan aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) iaitu aduan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“Ini adalah proses pertama yang perlu dilakukan sebelum kes boleh didaftarkan ke Mahkamah Perusahaan. Ia hendaklah dikemukakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembuangan kerja, malah boleh dikemukakan dalam tempoh notis pembuangan.

“Pekerja boleh hadir ke cawangan JPPM yang terdekat untuk membuat aduan berkenaan. Pegawai di JPPM akan memberikan borang aduan untuk diisi oleh pekerja,” katanya.

Beliau berkata jika lebih daripada 60 hari, pekerja hanya boleh mendapatkan keadilan di Mahkamah Sivil, namun kekurangan bidang kuasa mahkamah berkenaan adalah terhad kepada apa yang ternyata dalam kontrak perkhidmatan sahaja seperti tempoh notis penamatan tidak dibayar majikan.

Dalam pada itu, Kamal Affandi menyarankan supaya pekerja lebih peka dengan hak yang diperuntukkan kepada mereka termasuk perlindungan diberikan kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang boleh membantu meringankan beban kewangan ketika berhadapan saat-saat sukar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan