AM

BANTUAN PESAWAH BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN, HARAPAN AGAR AGIHAN TELUS

01/03/2025 09:13 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Bantuan kepada pesawah bagi menyambut Ramadan dan Syawal jelas membuktikan keprihatinan kerajaan MADANI terhadap golongan itu dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, pesawah di PERAK berharap bantuan berjumlah RM15 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas benar-benar sampai kepada mereka tanpa sebarang keciciran.

Seorang pesawah di Bagan Serai, Saiful Shahrin Ahmad Pauzi, 41, berkata peruntukan bantuan itu amat diperlukan bagi meringankan beban mereka, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos bahan input pertanian.

"Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam memastikan kebajikan pesawah sentiasa terpelihara. Namun, kami berharap bantuan ini benar-benar sampai kepada semua yang memerlukannya tanpa ada yang tercicir.

"Baru-baru ini, kerajaan juga mengumumkan penyelarasan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 sebelum ini, langkah yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos hidup pesawah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pesawah di Seberang Perak, Khairol Fikri Mohamed Amin, 37, menghargai langkah kerajaan menyalurkan bantuan tersebut dan berharap usaha memartabatkan industri padi tempatan terus diperkukuh.

"Reformasi industri padi perlu dilakukan bagi memastikan kemandirian bekalan padi dan beras tempatan pada masa hadapan. Saya berharap kerajaan dapat merealisasikan usaha ini," katanya.

Di Kerian, Iswan Syahrullah Ismail, 35, yang mengusahakan sawah berkata bantuan itu secara langsung membantu mengurangkan kos operasi pesawah, terutama dalam keadaan harga bahan pertanian yang semakin meningkat.

"Kos operasi pesawah kini semakin tinggi, terutama perkhidmatan jentera yang menggunakan diesel yang naik antara 15 hingga 30 peratus, selain peningkatan harga racun dan baja. Bantuan RM15 juta ini sangat membantu dalam menampung kos yang semakin membebankan," katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri mengumumkan golongan pesawah di seluruh negara bakal menerima agihan sumbangan berjumlah RM15 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri, Fahmi Zainol, berkata bantuan itu bakal dinikmati lebih 230,000 pesawah di seluruh negara.

Beliau menyifatkan berita itu sebagai satu kelegaan besar buat pesawah, terutamanya selepas pengumuman kenaikan harga lantai padi baru-baru ini.

“Setiap bentuk bantuan yang diberikan amat bermakna bagi pesawah, lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya.

Mengenai program penanaman padi lima,musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1, Fahmi berkata pihaknya menyambut baik hasrat Perdana Menteri untuk memasukkan Pulau Pinang Utara sebagai salah satu lokasi pelaksanaan projek tersebut.

Namun, beliau memaklumkan setakat ini belum ada pertemuan rasmi dan pihaknya masih menunggu butiran lanjut mengenai pelaksanaan program berkenaan.

Di KELANTAN, Pengerusi Persatuan Pesawah (Pesak), Zuha Ismail berkata program tanaman padi lima musim dalam dua tahun boleh dilaksanakan di negeri itu, yang merupakan jelapang padi kedua terbesar negara, dengan syarat infrastruktur pertanian diperbaiki.

"Konsep ini wajar diperluaskan ke Kelantan, terutama di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Namun, penambahbaikan sistem bekalan air sawah yang lebih sistematik perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan pengairan yang konsisten," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan