KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mara ke pusingan akhir acara 60 meter (m) Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC selepas menamatkan saringan lima di tempat kedua awal pagi tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 6.61 saat (s) kurang 0.1s di belakang rakan sepasukan Israel Okon dari Nigeria.
Tempat ketiga saringan lima dimenangi wakil Universiti Alabama, Jekovan Rhetta dari AS dengan 6.63 s.
Muhammad Azeem dijadualkan turun dalam aksi final 60m awal pagi Ahad bagi merebut kejuaraan pertamanya musim ini.
Pada Februari lepas, atlet berusia 20 tahun itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan miliknya pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS dengan catatan 6.60s memadamkan rekodnya sendiri 6.62s di kejohanan sama pada 2023.
-- BERNAMA