KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pembinaan bangunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang baharu di Bukit Jalil dijangka melibatkan kos berjumlah RM103 juta, kata Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM93 juta adalah bagi pembinaan bangunan manakala RM10 juta merupakan nilai pajakan tanah bagi bangunan baharu yang akan dikenali sebagai Olympic House Malaysia.
"Untuk pajakan tanah kita (MOM) perlu bayar RM5 juta dahulu dan selebihnya dibayar dalam masa 10 tahun.
"Bangunan ini akan ada kemudahan baharu, muzium dan dewan banquet untuk menjana pendapatan tambahan MOM, dewan sidang media, bilik mesyuarat dan kita ada beberapa pejabat untuk persatuan sukan yang tidak mampu untuk ada pejabat besar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangai Perjanjian antara MOM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang turut dihadiri Timbalan Presiden MOM Tan Sri Hamidin Mohamad Amin, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Ilyas Jamil dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk K Nagulendran.
Pada 11 Dis tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi pihak kerajaan.
Dalam pada itu, Mohamad Norza turut berharap Olympic House Malaysia dapat disiapkan menjelang Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah.
"Akan ada fasa-fasanya untuk menyiapkan pembungunan, kita mahu siap bangunan terdahulu jadi boleh adakan mesyuarat di sana, bukan mudah, sebab kita habiskan banyak masa untuk berunding dengan kerajaan untuk projek ini," katanya.
Ibu pejabat MOM baharu itu bakal dibina bersebelahan Stadium Nasional Hoki selain dikelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Pusat Akuatik Negara, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.
-- BERNAMA