EKONOMI

KWSP JADIKAN ALOKASI ASET STRATEGIK SEBAGAI ASAS PELABURAN MASA DEPAN - KPE

01/03/2025 06:14 PM

SHAH ALAM, 1 Mac (Bernama) -- Pelaburan masa depan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan berpandukan peruntukan atau Alokasi Aset Strategik (SAA) yang melibatkan kitaran pelaburan tiga tahun dan diteliti semula setiap tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Ahmad Zulqarnain Onn berkata dana persaraan itu telah menyemak semula SAA bagi 2024 yang menetapkan strategi pelaburan bagi 2025, 2026 dan 2027.

Beliau menjelaskan, alokasi aset yang telah diluluskan oleh panel pelaburan KWSP dan Kementerian Kewangan (MoF) juga akan mengekalkan keseimbangan antara domestik dan global semasa.

“Oleh itu, tidak akan ada perubahan, tiada pengurangan. Matlamatnya adalah untuk memastikan kestabilannya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Dari sudut matematik, ini bermakna 70-80 daripada dana baharu (caruman daripada pekerja asing) akan digunakan di peringkat domestik. Profil risiko domestik dan global adalah agak berbeza,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan pengumuman Dividen KWSP 2024 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Zulqarnain berkata portfolio global KWSP akan menyaksikan peruntukan lebih tinggi untuk aset berisiko seperti ekuiti.

“(Setakat ini) kita tidak tahu lagi mengenai jumlah dana daripada pekerja asing. Namun, jika kita anggarkan sekarang, ia tidak melebihi RM5 bilion dalam tahun pertama berdasarkan kadar dua peratus masing-masing daripada majikan dan pekerja yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya sebagai menjawab pertanyaan mengenai pelaburan daripada caruman pekerja asing berkenaan.

Beliau berkata KWSP akan turut meningkatkan usahanya untuk memantapkan lagi liputan caruman memandangkan hanya melibatkan 60 peratus pekerja Malaysia manakala baki 40 peratus tidak dilindungi atau mencarum dalam dana persaraan itu.

Selain itu, memandangkan hanya 37 peratus rakyat Malaysia mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, beliau berkata KWSP juga perlu beralih daripada model pengeluaran secara sekali gus. 

“Jika anda mempunyai simpanan yang mencukupi, ini masih tidak cukup selagi jangka hayat terus meningkat. Inilah risiko sebenar kerana jangka hayat seseorang akan terus meningkat susulan kemajuan dalam penjagaan kesihatan, penemuan ubat baharu yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

 “Oleh itu, kita perlu memikirkan bagaimana dapat memberi perlindungan terhadap risiko pertambahan usia masyarakat," katanya.

Ketika membentangkan prospek bagi 2025, beliau berkata KWSP menumpukan trend yang ketara dengan kesan pelbagai tahun seperti penjagaan kesihatan, AI dan data; tenaga dan pasaran persendirian.

“Sejajar dengan perkembangan masyarakat menua di serata dunia, termasuk Malaysia, kita menjangkakan permintaan bagi penjagaan kesihatan akan terus meningkat setiap tahun.

“Kita juga melihat pertumbuhan AI dan data yang kukuh. Pendigitalan ekonomi pula akan berterusan dan AI generatif akan memberi satu lagi dorongan dari segi permintaan terhadap data serta permintaan untuk aset digital," katanya.

Ahmad Zulqarnain juga menjangkakan tenaga sebagai satu lagi sektor yang mampu menyaksikan peralihan berbilang tahun kepada e-tenaga.

Menurutnya, di sebalik perkembangan semasa di AS, beliau berkata Malaysia terus yakin dengan peralihan kepada tenaga lebih bersih akan berterusan.

“Ia mungkin lebih perlahan berikutan faktor politik, namun ini akan terus berlaku kerana struktur kos tenaga bersih dijangka turun lebih cepat berbanding bahan api fosil.

“KWSP juga akan terus menyalurkan peruntukan untuk pasaran persendirian yang telah menjadi penyumbang pendapatan yang baik selain memberi pendapatan agak stabil pada kadar pelarasan risiko.

“Bagi saya, ini akan mendapat sokongan domestik menerusi pelbagai pelan moden ekonomi yang mendapat sambutan baik oleh komuniti pelaburan sejak dua tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan