AM

TAMU DESA TENGHILAN BERNILAI RM200,000 MULAI BEROPERASI

01/03/2025 08:38 PM

TUARAN, 1 Mac (Bernama) -- Tamu Desa Pekan Tenghilan bernilai RM200,000 yang siap sepenuhnya pada September tahun lepas mula beroperasi, sekali gus menjadi tamu desa ke-93 di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata projek Bina Baharu Infrastruktur Tamu Desa itu dilaksanakan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Sabah dan Sarawak pada tahun lepas.

“Tamu Desa ini adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya laksanakan di KUSKOP, yang antara lain memberi fokus tambahan kepada kedua-dua negeri itu tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian di seluruh negara.

“Bermula tahun lepas, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sejumlah dana dalam Belanjawan 2024 untuk memulakan pembinaan premis Tamu Desa. Pembinaan Tamu Desa ini menggunakan konsep yang berlainan, sama ada berkonsep gerai atau dewan terbuka dan dibina baharu atau menaik taraf tamu sedia ada,” katanya ketika berucap merasmikan Tamu Desa berkenaan di sini hari ini.

Ewon berkata pelaksanaan Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada usaha kerajaan melalui KUSKOP, yang memberikan fokus tambahan kepada kedua-dua negeri itu.

“Selain itu, kita juga memperkenalkan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus iaitu geran khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak

“Pada tahun lepas, kementerian telah menyalurkan pembiayaan kepada 113 syarikat di Sabah dan 50 syarikat bumiputera di Sarawak melibatkan nilai geran lebih RM13 juta.

“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak khususnya para usahawan yang disediakan KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata tahun ini, kementeriannya akan meneruskan BEEP Plus dan pelaksanaan Premis Tamu Desa di kedua-dua negeri berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan