KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Dengan simpanan lebih kukuh dan kesedaran kewangan yang meningkat, Program Literasi Kewangan GoGiggers 2024 terbukti membantu pekerja penghantar makanan foodpanda mengurus kewangan dengan lebih baik.
Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam kenyataan baru-baru ini, penilaian program itu telah menunjukkan peningkatan kesejahteraan kewangan peserta sebanyak 34.4 peratus sementara pengetahuan kewangan meningkat 13.1 peratus dan perubahan positif dalam tingkah laku kewangan sebanyak 18.5 peratus.
Selain AKPK, program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada foodpanda dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan 74 peratus peserta kini mempunyai tabungan kecemasan sendiri.
BSN melaporkan jumlah simpanan GIRO yang terkumpul melebihi RM68,000 manakala pelaburan dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) mencecah lebih RM40,000.
Selain menyimpan, peserta turut didedahkan kepada kepentingan mencarum secara sukarela dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan masa depan kewangan yang lebih stabil.
Salah seorang peserta Mohd Saiful Samion berkata program itu telah mengubah cara beliau mengurus kewangan.
"Sebelum menyertai program GoGiggers ini saya sering menghadapi kesukaran dalam menguruskan wang. Program ini telah membuka minda saya, memberikan ilmu untuk saya mengurus kewangan dengan lebih baik.
“Alhamdulillah, kini saya sudah mula mempunyai tabungan kecemasan dan berasa lebih yakin dengan masa depan saya dan isteri,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pendidikan dan Jangkauan Masyarakat AKPK Nor Fazleen Zakaria berkata inisiatif tersebut telah memberi manfaat besar kepada pekerja gig yang sering berdepan cabaran seperti ketidaktentuan pendapatan, simpanan tidak mencukupi dan perlindungan kewangan yang terhad.
“Kami melihat setiap pekerja gig sebagai tulang belakang ekonomi moden, gigih berusaha demi menjamin kehidupan keluarga yang lebih baik.
“Namun sepertimana pekerja lain di Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi negara, mereka turut berdepan cabaran utama seperti ketidaktentuan pendapatan, simpanan yang kadangkala tidak mencukupi dan perlindungan kewangan yang terhad,” katanya.
Program itu berjaya menarik lebih 100 rakan rider foodpanda sejak dilancarkan pada 6 Sept 2024 dan dimulakan pada Julai 2024.
Ia memberi tumpuan kepada memperkasakan komuniti gig dengan kemahiran pengurusan kewangan yang lebih efektif.
-- BERNAMA