KUALA TERENGGANU, 2 Mac (Bernama) -- Ramadan buat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down di Kampung Mak Kemas, Marang kali ini menjadi lebih bermakna apabila memperoleh kad pengenalan (MyKad) gantian hari ini.
Muhammad Faisal Hilmi Hasin, 25, menerima dokumen itu daripada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPPN) Badrul Hisham Alias yang datang ke rumahnya menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan permohonan MyKad lelaki itu dipermudahkan oleh pasukan MEKAR JPN Terengganu yang turun ke lapangan bagi melengkapkan permohonan.
“Selain OKU Sindrom Down, Muhammad Faisal Hilmi juga menghidap pelbagai penyakit kronik yang lain. Hari ini, JPN turut menyerahkan sumbangan kotak makanan kepada keluarganya,” menurut kenyataan itu.
Dengan slogan 'Rakyat Dihati JPN', MEKAR merupakan program turun padang membabitkan pengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan penduduk di kawasan pedalaman.
“Ini adalah usaha proaktif JPN bagi memastikan penduduk Malaysia yang layak dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan ditawarkan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA