PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua majlis rasmi kerajaan sepanjang Ramadan ini dilaksanakan dengan penuh kesederhanaan, selaras dengan semangat dan roh bulan tersebut.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, beliau menekankan pentingnya untuk dimensi kerohanian diperkukuh sepanjang Ramadan, bukan hanya melalui ibadah kepada Allah SWT tetapi juga dengan memupuk integriti, disiplin dan kejujuran dalam kehidupan seharian.
“Ramadan ini seharusnya menjadi masa untuk kita lebih insaf dan berusaha menyampaikan bantuan kepada masyarakat kurang bernasib baik, bukan sekadar memewahkan acara iftar dan kegiatan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kementerian dan jabatan kerajaan untuk mengamalkan kesederhanaan pada majlis rasmi sepanjang Ramadan supaya dana yang ada dapat dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan.
“Saya perhatikan ada kalanya jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan menyediakan sumbangan dalam bentuk terlalu mewah. Sebagai contoh, kotak-kotak pembungkusan sangat indah tetapi harganya mungkin lebih mahal daripada isi seperti kurma diberikan. Ini satu pembaziran,” kata Menteri Kewangan itu.
Anwar turut menyeru agar Ramadan dijadikan sebagai bulan membudayakan pembacaan, pemahaman, dan penghayatan al-Quran, sesuai dengan peranannya sebagai petunjuk kepada manusia.
“Syahrul Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran, yang menjadi panduan untuk menentukan pertimbangan antara yang baik dan buruk.
“Maka, marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran,” katanya.
Perhimpunan turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
-- BERNAMA