AM

AMALAN SETIAP AGAMA PERLU DIHORMATI, JANGAN JADIKAN BAHAN SENDA - JAKIM

04/03/2025 04:47 PM

PUTRAJAYA 4 Mac (Bernama) -- Amalan setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau berkata sikap memperlekehkan atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk sentiasa menjaga senstiviti keagamaan di Malaysia dan mengamalkan sikap saling memahami serta bertoleransi.

“JAKIM mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan, mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini tular di media sosial tindakan penyampai radio di sebuah stesen milik Astro dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi kenyataan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan