AM

DEWAN RAKYAT LULUS RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2025

04/03/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.

RUU itu mendapat sokongan 148 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga ketika undi belah bahagian dilakukan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata 17 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 57 wakil rakyat tidak mengundi.

Johari memaklumkan undian belah bahagian dijalankan berikutan peruntukan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan kepada Perlembagaan pada bacaan kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan antaranya meminda Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).

Fasal itu menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan itu oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan. 

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pindaan yang dibuat adalah sebagai langkah pertama untuk memberi autonomi kewangan dan pentadbiran kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menjadi tunjang kepada Parlimen.

Beliau turut menegaskan bahawa pindaan yang dibuat bukan untuk eksekutif atau memberi lebih kuasa kepada kerajaan, sebaliknya bagi memberi kebebasan sebenar kepada Parlimen. 

“Saya nak maklumkan bahawa kenaikan pangkat Setiausaha Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara amat susah, mereka sayang dengan tugas, tetapi gaji tak setimpal … kenderaan tiada, penyelidik tiada, hendak ke luar negara pun tidak mampu, beli tiket kapal terbang tidak mampu.

“Mereka adalah pakar dalam bidang Parlimen dan jika kita ingin ganti, perlu gantikan dengan yang terbaik dan bukan ditekan oleh eksekutif kepada siapa yang mereka mahu, tetapi siapa yang kita hendak. Jadi, perkara ini melibatkan mereka sebagai Pengerusi Majlis Perkhidmatan Parlimen dan mereka yang duduk dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen.

“Kita tidak tahu selama mana akan memerintah, jadi kita nak Parlimen yang bebas, itu yang kita perlu bertanggungjawab sebagai Ahli Parlimen supaya apabila Parlimen bebas, tidak mudah Parlimen ditutup atas apa-apa alasan sekalipun,” katanya.

Dalam penggulungan itu, Azalina turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis atas persediaan beliau membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, yang mencerminkan kesediaan Kerajaan MADANI untuk membuat perubahan besar dalam landskap perundangan demi kesejahteraan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan