LIMBANG, 4 Mac (Bernama) -- Trup Batalion Ketujuh Rejimen Sempadan (7 RS) di bawah kawalan operasi Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) menggagalkan cubaan penyeludupan minuman keras dalam satu operasi di Pos Limbang hari ini.
9 Bgd dalam kenyataan memaklumkan 10 lelaki ditahan terdiri daripada tujuh warganegara dan tiga warga Filipina.
“Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan serta memiliki 449 karton minuman keras pelbagai jenama,” menurut kenyataan itu.
Menurut 9 Bgd rampasan bernilai keseluruhan RM310,654 merangkumi minuman keras, dua van dan sebuah bot.
Kesemua individu yang ditahan serta barangan rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited dalam memperkasakan kawalan keselamatan di sempadan negara bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada jenayah rentas sempadan serta pencerobohan pendatang asing,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA