AM

WAN AHMAD FAYSHAL PATUT BUAT KAJIAN - DR TAUFIQ

04/03/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen pembangkang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digesa melakukan kajian bagi mendapatkan kefahaman yang lebih baik mengenai pengumuman dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dr Taufiq berkata demikian susulan kenyataan Ahli Parlimen Machang daripada Bersatu Wan Ahmad Fayshal yang mempersoalkan jumlah pembayaran RM73.24 bilion yang menggunakan hampir keseluruhan pendapatan pelaburan RM74.46 bilion KWSP bagi 2024.

Menurut Dr Taufiq, kenyataan itu bukan sahaja satu percubaan tidak wajar memperkecil pengumuman dividen KWSP tetapi juga satu permainan politik untuk mengelirukan rakyat.

“Pengumuman dividen KWSP 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Syariah merupakan berita baik untuk negara. Ia kadar tertinggi diumumkan sejak 2017 dan patut diraikan.

“Beliau dan rakan partinya tidak mahu mengaku bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melakukan kerja yang lebih baik mengurus ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Taufiq kerajaan MADANI lebih baik dalam menguruskan ekonomi seperti dilihat pada dividen KWSP yang lebih tinggi, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mencatatkan Pelaburan Langsung Asing, mengatasi prestasi kerajaan terdahulu yang juga melibatkan Wan Ahmad Fayshal.

Mengulas lanjut, beliau berkata Wan Ahmad Fayshal perlu membuat kajian kerana prinsip yang sama pernah digunakan pada era Perikatan Nasional (PN) kecuali dengan dividen yang lebih rendah. 

"Sebagai contoh, pada 2022 pendapatan pelaburan ialah RM55 bilion dan RM51 bilion dibayar dalam bentuk dividen. Jadi, apakah perbezaan prinsipnya?

Beliau berkata perbezaan utama ialah bilangan yang lebih rendah kerana untuk 2022, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah.

Pada Mac 1, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM63.05 bilion dan 6.30 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah pengagihan RM10.19 bilion.

Jumlah agihan dividen pada 2024 ialah RM73.24 bilion, tertinggi sejak 2017.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan