AM

JUALAN KASIH JOHOR DI 57 LOKASI, DISKAUN SEHINGGA 70 PERATUS

04/03/2025 09:29 PM

JOHOR BAHRU, 4 Mac (Bernama) -- Program Jualan Kasih Johor diteruskan sempena perayaan Aidilfitri tahun ini di 57 lokasi seluruh negeri dengan potongan harga sehingga 70 peratus.

Pengerusi Jawatakuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata seperti perayaan lain sebelum ini, jualan yang dianjurkan kerajaan negeri itu merupakan satu daripada usaha dan komitmen untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata jualan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu akan dilaksanakan bermula 22 hingga 29 Mac ini di 57 kawasan meliputi keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Jualan Kasih kali ini menawarkan potongan harga antara 50 hingga 70 peratus bagi barangan makanan komoditi yang menjadi keperluan asas antaranya ialah ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, serta minyak masak dua liter.

“FAMA turut menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan lain seperti daging lembu, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit dan produk industri asas tani (IAT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata penganjuran kali ini menyasarkan lebih 200,000 pengunjung selain melibatkan lebih 300 usahawan manakala pelancaran program dijadualkan pada 22 Mac di Kawasan R&R Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

“Kerajaan negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta untuk program Jualan Kasih Johor melalui belanjawan 2025, malah sejak diperkenalkan pada 2023 kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM12.4 juta secara keseluruhannya,” katanya

-- BERNAMA


 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan