Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 4 Mac (Bernama) -- Banjir buruk melanda kawasan metropolitan Jabodetabek, termasuk Jakarta, Bogor, Bekasi dan Tangerang, menyebabkan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan serta ratusan rumah ditenggelami air.
Hujan lebat telah melumpuhkan aktiviti harian manakala pasukan penyelamat giat memindahkan penduduk ketika tanah runtuh dan jalan yang ditenggelami air menghalang usaha bantuan.
Televisyen tempatan melaporkan rumah, tingkat bawah bangunan, tempat letak kenderaan, pasar dan pusat beli-belah telah dinaiki air menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah Jakarta (BPBD) mengesahkan kawasan di Jakarta Selatan dan Jakarta Timur mencatatkan paras air mencecah 300 sentimeter, menyebabkan lebih 1,000 orang dipindahkan manakala 323 rumah terjejas banjir.
Menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari, pihak berkuasa di Bogor sedang bekerjasama dengan penduduk untuk membersihkan sampah sarap daripada air banjir.
“Seramai 346 orang masih berada di dua pusat pemindahan. Penilaian awal menunjukkan 204 rumah terjejas dan sebuah jambatan musnah,” katanya dalam satu kenyataan.
Di kawasan Pagedangan, Tangerang, wilayah Banten, 350 rumah turut terjejas akibat limpahan air Sungai Cimanceuri, dengan kerosakan ketara berterusan walaupun banjir mula surut.
Abdul Muhari turut melaporkan bahawa Kota Bekasi sebagai kawasan terjejas teruk akibat banjir yang menenggelamkan beberapa daerah termasuk Bekasi Timur, Bekasi Utara, Bekasi Selatan, Medan Satria, Jatiasih, Pondok Gede dan Rawalumbu.
“Lebih 150 rumah penduduk dinaiki air setinggi antara 150 hingga 200 sentimeter. Pihak berkuasa Kota Bekasi telah memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik,” katanya.
Di Kabupaten Bekasi, hujan lebat dan limpahan sungai dari hulu telah menyebabkan banjir di Cibarusah, Serang Baru, Setu, Cikarang Utara, Cibitung dan Tambun Utara, menyebabkan penduduk terkandas akibat paras air yang semakin meningkat.
“Ketika banjir mula surut, pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan teliti dan usaha pemulihan sedang dijalankan,” tambah Abdul Muhari.
-- BERNAMA