Mengukir figura daripada tanah liat kini menjadi antara sumber rezeki anak muda di negara ini dengan tumpuan adalah pada watak-watak animasi dan adiwira komik popular yang kemudian dijual kepada pengumpul koleksi.
Namun bagi Mohd Saifol Zainal, 44, beliau mencari kelainan dalam pasaran yang semakin sengit itu dengan menghasilkan figura artis hip-hop. Gandingan minat, bakat dan kreativitinya menyaksikan pengkarya ini menghasilkan kraf berkualiti hingga dapat memukau si artis itu sendiri yang membeli kerja tangannya.
“Karya saya mula meletup ketika era pandemik COVID-19 dengan ukiran penyanyi House of Pain dan Wu-Tang (kumpulan hip-hop terkenal di Amerika Syarikat) serta Snoop Dogg (artis rap) telah terjual dan ada antara karya ini dibeli oleh penyanyi itu sendiri,” katanya kepada Bernama.
Mengimbau kenangan sekitar lima tahun lalu tersebut, lelaki ini berkata pencapaiannya itu datang selepas bertahun-tahun mengilat bakat dan kemahiran sejak mengenali seni mengukir patung tanah liat pada 2007.
MINAT
Berkongsi cerita dengan Bernama, anak jati Telok Panglima Garang, Selangor ini, berkata minat terhadap seni itu tercetus secara tidak langsung apabila beliau menonton beberapa buah vlog (blog video) yang memaparkan karya-karya beberapa orang pengukir di YouTube.
“Bermula pada 2007, saya sekadar melayari video untuk melihat tutorial dan bagaimana karya itu dibuat dan dihasilkan… akhirnya datang minat untuk mencuba.
“Setahun kemudian saya berguru dengan ‘orang lama’ dalam bidang ini. Bermula dari situ, saya bertekad untuk cuba membuat sendiri,” katanya yang ketika itu bekerja sebagai pekerja am di sebuah pawagam di ibu negara.
Imbas Mohd Saifol, dalam cubaan terawalnya, beliau menghasilkan figura adiwira komik “Avengers” yang diangkat ke filem seperti Iron Man, Captain America, Thor dan Hulk.
pic-2
Katanya, beliau mengambil masa beberapa tahun untuk menyempurnakan karyanya sehingga beliau dapat mencari rentak dan mengukir figura mengikut cita rasa yang diingini.
Berpuas hati dengan kemahirannya, beliau mencabar diri menghasilkan figura artis hip-hop antarabangsa yang diminatinya.
“Saya sangat menyukai muzik berentak hip-hop, jadi saya juga mula membuat arca ini berpandukan wajah pemain seni muzik hip-hop… memang agak sukar kerana kita perlu bentuk dan ukir wajah mereka menghampiri wajah sebenar.
“Saya gunakan tanah liat khas yang dibeli dari China. Saya bukan sekadar bentukkan tubuh dan rupa, tetapi lengkap dengan pakaian dan aksesori bersesuaian termasuk topi, kasut, kaca mata, mengikut imaginasi saya,” jelasnya yang juga seorang penggiat tarian breakdance.
PASARAN LUAR NEGARA
Berkongsi kerja tangannya di laman sosial Instagram, beliau tidak menyangka karyanya mendapat perhatian dan meraih peminat sendiri, terutamanya penggemar muzik hip-hop.
Lebih mengujakan, peminatnya bukan setakat rakyat negara ini tetapi juga dari luar negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada.
Melihat sambutan menggalakkan, beliau berhenti kerja pada 2018 dan menjadikan kegiatan mengukir arca sebagai sumber pendapatabn utama.
“Selepas membulatkan tekad untuk menjadi pengukir sepenuh masa, saya berusaha menambah baik kemahiran dan menyempurnakan hasil seni saya sebaik mungkin, mengikut kehendak pelanggan,” ujarnya.
Menurut beliau, apabila karyanya turut mendapat perhatian artis yang diukirnya, kerjaya beliau memuncak dengan tempahan diterima membuatkannya tidak menang tangan.
“Apabila mereka (artis) membeli ukiran ini dan kemudian dimuat naik ke Instagram masing-masing, dan selepas itu direpost pula oleh pengikut masing-masing, secara tidak langsung ia memberikan promosi percuma kepada karya saya,” katanya yang mampu meraih sekitar RM10,000 bagi dua atau tiga figura yang dijual.
Menurut Mohd Saifol, ketika itu beliau terpaksa bersengkang mata bagi memenuhi tempahan dengan setiap figura memerlukan masa dua ke tiga minggu untuk disiapkan bergantung pada kerumitan, bermula daripada melakar figura yang diingini, membuat acuan, mengukir dan mewarna.
Kesemua peringkat itu menuntut ketelitian dan beliau bersyukur kerana turut dibantu oleh isterinya.
pic-3
“Waktu ini memang tidak menang tangan dan pelanggan saya kebanyakannya dari Amerika Syarikat dan Kanada… kemungkinan juga industri muzik di sana ketika itu rancak dengan genre hip-hop,” jelas beliau.
Bagi memastikan keunikan karyanya, bapa kepada tiga cahaya mata ini menekankan aspek keeksklusifan pada setiap figura yang dihasilkannya.
“Saya tidak akan keluarkan reka bentuk sama untuk satu-satu figura. Jadi, setiap figura itu berbeza meskipun menggunakan wajah artis yang sama,” katanya.
CABARAN
Di sebalik pendapatan lima angka yang diraih ketika itu, Mohd Saifol berkata beliau turut berdepan beberapa cabaran berkaitan “keizinan” yang membuatkannya lebih berhati-hati dalam penghasilan figura artis.
“Tidak semua artis selesa apabila wajah mereka digunakan dan dikomersialkan tanpa kebenaran. Saya guna wajah mereka dan saya jual untuk dapat keuntungan yang bagi mereka satu kesalahan.
“Ada sesetengah wakil mereka DM (menghantar mesej secara langsung) saya supaya saya tidak gunakan populariti artis itu untuk mendapatkan untung, dan sebagai peminat hip-hop, saya memahami dan menghormati (kehendak mereka) kerana saya sendiri tidak mempunyai kebenaran atau lesen sah dalam menggunakan wajah-wajah artis ini,” katanya.
Pun begitu, Mohd Saifol berkata perkara itu tidak menjadi halangan untuk beliau terus berkarya dan mengembangkan bakatnya sebagai seorang pembuat figura.
Susulan itu juga beliau hanya menghasilkan figura artis berdasarkan tempahan peribadi oleh artis tersebut.
“…dan kini permintaan itu bukan terbatas kepada figura artis semata-mata, ada juga peminat muzik hip-hop yang mahu saya mengukir wajah mereka sendiri lengkap dengan gaya pakaian ala hip-hop seperti yang mereka mahukan,” ujarnya.
TERUS BERKARYA
Mohd Saifol berkata meskipun tempahan figura yang diterimanya ketika ini tidak serancak pada era pandemik, beliau bersyukur rezekinya dalam bidang itu tidak pernah putus.
Katanya, beliau masih mampu meraih pendapatan sekitar RM1,000 ke RM5,000 untuk satu-satu tempahan yang dibuat.
pic-4
“Walaupun saya lebih menfokuskan figura hip-hop ini, ada juga pelanggan yang mahu saya menyiapkan figura adiwira seperti dalam watak filem Avengers itu. Saya akan mempelbagaikan idea dengan melakar karakter ini menerusi komputer atau Ipad saya sebelum ditunjukkan kepada pelanggan.
“Jika pelanggan bersetuju dengan reka bentuk karakter itu dan harganya, baru saya mulakan kerja siapkan tempahan,” katanya, menambah ukuran figura yang dihasilkannya boleh mencapai ketinggian hingga dua kaki.
Mohd Saifol berkata selain mempromosikan karyanya menerusi Instagram, beliau turut aktif menyertai pameran berkaitan karya itu di sekitar ibu negara.
Baginya, kegiatan itu bukan bertujuan meraih keuntungan semata-mata, tetapi juga demi kepuasan diri kerana dapat mengetengahkan bakatnya kepada masyarakat.
“Memang tidak dinafikan, daripada kerja di pawagam yang hanya bergaji RM2,000 sebulan, saya mampu memperoleh pendapatan purata hingga lima angka sebulan.
“Namun bagi saya, menterjemahkan idea dan bakat menerusi seni ini adalah lebih berharga, apatah lagi apabila masyarakat menghargai karya-karya hasil tangan anak tempatan,” katanya.
-- BERNAMA