KUALA TERENGGANU, 5 Mac (Bernama) -- Seorang pegawai perubatan kerugian RM86,200 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto di media sosial, bermula Oktober tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 39 tahun tertarik untuk menyertai pelaburan itu, kerana menawarkan pulangan lumayan selepas menyertai kumpulan WhatsApp perkongsian maklumat saham.
“Wanita itu telah menggunakan wang simpanan untuk membuat lima transaksi pemindahan wang berjumlah RM86,200 ke akaun diarahkan bagi tujuan pelaburan.
“Bagaimanapun, semasa mangsa mahu mengeluarkan keuntungan pelaburannya, dia dihalang atas pelbagai alasan termasuk akaun dibekukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azli berkata mangsa semakin curiga dengan skim pelaburan itu apabila diarahkan membuat pemindahan wang dalam mata wang kripto Tether sebanyak USDT35,146.60 bagi tujuan pengesanan semakan sumber pendapatan.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 4.16 petang semalam dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Azli menasihatkan orang ramai berhati-hati dan membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai pelaburan mencurigakan di media sosial bagi memastikan kesahihan skim ditawarkan.
-- BERNAMA