AM

HOSPITAL SULTAN IDRIS SHAH SERDANG PERKENAL HSISCARE, PERCEPAT PERKHIDMATAN KESIHATAN

05/03/2025 12:05 PM

SERDANG, 5 Mac (Bernama) -- Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang hari ini, memperkenalkan aplikasi HSISCare bagi membolehkan pesakit menguruskan janji temu, melakukan daftar kendiri dan mengakses maklumat kesihatan peribadi dengan lebih mudah serta pantas.

Ciri pendaftaran dalam talian dalam radius 500 meter daripada hospital, membolehkan pesakit terus ke klinik tanpa perlu beratur di kaunter pendaftaran, sekali gus mempercepat proses rawatan dan mengurangkan kesesakan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pengenalan HSISCare merupakan inisiatif penting, dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Aplikasi HSISCare memudahkan dan membantu kita terutama sekali dalam suasana Kementerian Kesihatan (KKM) bergelut dengan isu seperti kesesakan di hospital,” katanya semasa berucap melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah HSIS Serdang Dr Farique Rizal Abdul Hamid.

Dr Muhammad Radzi berkata KKM menyokong penuh usaha itu kerana selari dengan visi menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi, berinovatif dan berteknologi canggih.

Penggunaan teknologi digital, menurut beliau dapat mempercepat proses rawatan, meningkatkan kecekapan operasi hospital dan memperbaiki pengalaman pesakit serta memupuk kepercayaan pengguna terhadap sistem penyampaian kerajaan.

“Keupayaan untuk mengintegrasikan sistem digital dengan perkhidmatan kesihatan akan memastikan kita berada di barisan hadapan dalam era transformasi kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Farique Rizal berkata HSISCare bukan sekadar mempercepat pendaftaran, tetapi juga membolehkan pelanggan melihat semua janji temu termasuk ahli keluarga mereka di HSIS Serdang.

“Lebih menarik, semua ahli keluarga di bawah tanggungan mereka boleh didaftarkan dalam aplikasi ini, memastikan penyelarasan rawatan lebih lancar dan teratur,” katanya.

Aplikasi HSISCare boleh di dapati di Google Play Store atau App Store.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan