DUNIA

LEBIH 120,000 TERJEJAS AKIBAT BANJIR DI INDONESIA

05/03/2025 12:12 PM

JAKARTA, 5 Mac (Bernama) -- Seramai 124,816 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda kawasan metropolitan merangkumi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi, serta sebahagian wilayah Banten. 

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan bahawa pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi serta menyelaraskan usaha bantuan termasuk pemindahan mangsa, pengagihan makanan dan perkhidmatan kecemasan. 

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata setakat 7 malam Selasa, banjir telah menjejaskan 13,704 keluarga atau kira-kira 51,320 penduduk di 18 kampung dalam 10 mukim di Kabupaten Bekasi. 

“Kawasan yang terjejas termasuk Bojongmangu, Cikarang Utara, Cikarang Timur dan beberapa kawasan lain, dengan paras air belum surut,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau turut memaklumkan bahawa wilayah Bekasi dan Banten merupakan kawasan paling teruk terjejas, diikuti Jakarta dan Depok. 

Bagi mengurangkan risiko banjir berlanjutan, BNPB merancang operasi “weather modification” dari 4 hingga 8 Mac di kawasan hulu Puncak Bogor. 

Operasi itu bertujuan mengurangkan intensiti hujan yang menjadi punca utama banjir di kawasan rendah. 

“Usaha ini dilakukan bagi mengalihkan taburan hujan dari kawasan berisiko tinggi bagi meminimumkan kerosakan lanjut,” kata Abdul Muhari.

Beliau juga berkata bahawa pihak berkuasa terus menilai kerosakan dan menyelaraskan bantuan kepada mereka yang terjejas. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan