AM

JOHOR TAMBAH 80 HEKTAR SAWAH, TINGKATKAN PENGELUARAN PADI NEGARA

06/03/2025 11:20 AM

ISKANDAR PUTERI, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan penambahan kawasan sawah baharu seluas 80 hektar tahun ini dan tahun depan, dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan menyumbang kepada peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) padi negara. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata penambahan itu melibatkan kawasan seluas 30 hektar di Kahang, Kluang dan 50 hektar di Sungai Balang, Muar dengan peruntukan RM2 juta.

“Kawasan 30 hektar di Kahang akan mengeluarkan hasil sehingga 80 tan padi semusim, manakala dengan pertambahan 50 hektar di Sungai Balang pula bakal menjadikan keseluruhan kawasan sawah aktif di Johor kepada 1,693 hektar dengan sasaran tambahan 240 tan semusim.

“Hasil keluaran padi menerusi inisiatif ini akan digunakan untuk pasaran domestik terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Proposal Jelajah Orang Johor (JOJ)@DUN Parit Raja di Kota Iskandar di sini semalam. 

Beliau berkata walaupun sawah di Johor adalah kawasan di luar inisiatif jelapang padi negara, kerajaan negeri menyokong agenda meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

“Johor menyasarkan produktiviti pengeluaran padi per hektar melebihi sasaran purata nasional. Pembukaan kawasan tanaman padi baharu juga akan diteruskan sekiranya terdapat keperluan pada masa depan,” katanya. 

Sementara itu, Zahari berkata program JOJ berkenaan bertujuan memberi peluang kepada rakyat pelbagai lapisan bertemu dengan kepimpinan negeri secara bersemuka.

“Jika sebelum ini selalu dengar orang kata susah mahu jumpa Menteri Besar, barisan exco atau wakil agensi kerajaan, namun menerusi program ini orang ramai berpeluang bertemu sendiri secara bersemuka dan menyuarakan berkaitan isu-isu setempat di kawasan masing-masing.

“Program di DUN (Dewan Undangan Negeri) Parit Raja adalah kali kedua diadakan selepas kali pertama diadakan di Pontian, bulan lepas,” katanya, sambil menambah kerajaan negeri berhasrat mengadakan program itu di kesemua 56 DUN seluruh Johor.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan