AM

MALAYSIA, AUSTRALIA SEPAKAT CADANG PENUBUHAN JWG PENDIDIKAN TINGGI

06/03/2025 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Australia sepakat mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) sebagai langkah memperkukuhkan kolaborasi dalam bidang pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata persetujuan itu dicapai ketika beliau menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke di Parlimen.

“Kami membincangkan pelbagai kerjasama yang boleh dilakukan antara institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia dan Australia, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Diharapkan pertemuan ini akan membentuk usaha sama lebih erat antara kedua-dua negara dalam pendidikan tinggi dan bidang lain seperti kemahiran serta TVET, susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi pada tahun lepas,” katanya.

Memandangkan Australia antara negara yang terkehadapan dalam pendidikan tinggi, Zambry berkata Malaysia turut mengusulkan agar negara itu terlibat secara langsung dalam program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ini termasuk program seperti Festival of Ideas (FOI), program pembangunan kapasiti dan kepimpinan wanita serta tajaan pelajar di bawah Colombo Plan. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan