JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM SELANGOR RAMPAS KABIN VAN, MINUMAN KERAS, TEMBAKAU SHISHA BERNILAI LEBIH RM7 JUTA

06/03/2025 04:00 PM

KLANG, 6 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) merampas kabin van, minuman keras dan tembakau shisha bernilai lebih RM7 juta dalam operasi berasingan di Pelabuhan Utara dan Barat dekat sini, pada Januari lepas. 

Penolong Ketua Pengarah Kastam Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata 10 unit kabin van bernilai RM880,861 dalam bentuk Completely Built-Up (CBU) dan bercat ditemukan hasil pemeriksaan ke atas lima kontena di Pelabuhan Utara pada 7 Jan lepas. 

Beliau berkata dagangan berkenaan tidak mempunyai permit kelulusan (AP) khas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan tidak memenuhi kriteria Completely Knocked Down (CKD)  seperti digariskan di bawah peraturan kastam. 

“Bagi kes ini, dagangan telah diikrar menggunakan kod tarif yang salah iaitu sebagai CKD bagi tujuan mengelakkan keperluan mendapatkan AP Khas oleh MITI,” katanya pada sidang media di Bangunan Kastam Pelabuhan Utara di sini hari ini. 

Dalam kes berasingan, Ahmad Taufik berkata pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Pelabuhan Barat pada 9 Jan lepas berjaya menemukan 868 botol minuman keras berkapasiti 607.60 liter disyaki tidak berkastam bernilai RM131,251. 

Beliau berkata 39,000 botol dan 48,000 tin minuman keras bernilai RM1.6 juta turut dirampas dua hari kemudian selepas pemeriksaan dilakukan ke atas dua kontena di Pelabuhan Barat yang muatannya diikrarkan sebagai perabot.

“Jumlah keseluruhan bagi kes melibatkan minuman keras ini adalah RM1.7 juta dan harus diingatkan pengimportan minuman keras tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam

“Ini sebagaimana yang dinyatakan di bawah Butiran 67, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya. 

Bagi kes tembakau shisha, Ahmad Taufik berkata 20,418 kilogram berjaya ditemukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Barat bernilai RM4.3 juta pada 9 Jan lepas. 

Beliau berkata kesemua 3,403 karton tembakau shisha yang tidak mempunyai permit import serta diikrarkan sebagai kelengkapan sekolah itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia Barat.

“Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan