AM

UNIT INTEGRITI UA, IPT AKAN DILETAKKAN DI BAWAH LEMBAGA PENGARAH UNIVERSITI - ZAMBRY

06/03/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Unit Integriti Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), akan diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Universiti sebagai entiti bebas, dalam usaha meningkatkan tatakelola dan integriti institusi pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu diambil, bagi memastikan ketelusan tadbir, pelaksanaan tugas dan pemantauan integriti dilaksana sebaiknya, susulan beberapa isu berbangkit terkait integriti dan tatakelola dilaporkan berlaku di sesetengah universiti dan IPT.

Beliau berkata satu jawatankuasa integriti juga sudah dibentuk untuk merealisasikan usaha transformasi besar, yang perlu dilakukan dalam hal berkaitan pengurusan tatakelola dan dan integriti di pusat pendidikan tinggi.

“Penting untuk meletakkan Unit Integriti di bawah Lembaga Pengarah Universiti kerana ketika ini tiada keseragaman, baik dari segi jumlah perjawatan dan unit itu diletakkan ada di bawah kuasa Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor.

“Lembaga adalah entiti tertinggi dalam universiti, jadi keputusan kita wajar letakkan di sana dan ia akan dilakukan segera,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Zambry berkata KPT juga melihat ada keperluan untuk menambah perjawatan di Unit Integriti universiti dan IPT dengan gred perjawatan lebih tinggi.

“Ada unit cuma beroperasi seorang, dua orang, sedikit pegawainya tapi nak pantau keseluruhan universiti ada ribuan pelajar dan kakitangan, jadi sekurang-kurangnya perlu tujuh orang untuk laksana tugas mereka dengan berkesan.

“Dari segi gred pula kita akan minta penyelarasan semula kerana ada (pegawai) Unit Integriti itu diletak dalam lingkungan sangat junior sekali, gred 41 misalnya, mereka tiada kuasa tinggi untuk laksana tugas,” katanya.

Zambry berkata KPT juga sedang merancang melaksanakan Program Pegawai Integriti Bertauliah dengan kerjasama Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi meningkatkan kepakaran kakitangan Unit Integriti.

Sementara itu ditanya mengenai kekosongan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan peletakan jawatan Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman awal Feb lepas, beliau berkata setakat ini proses pemilihan sedang dilakukan jawatankuasa berkaitan.

Ditanya mengenai cadangan untuk menyeragamkan penyelarasan bagi kenaikan pangkat pensyarah, Zambry berkata perkara itu dalam penelitian KPT bagi memastikan proses itu dapat dilakukan secara saksama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan