PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa mulai 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kadar baharu itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikannya pagi tadi.
“Ini merupakan julung kali kadar Capitation Grant dikaji semula sejak tahun 2002. Semakan kadar tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Anwar berkata Majlis Kewangan Negara tahun ini turut meluluskan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).
Beliau berkata tumpuan Kerajaan MADANI untuk memelihara dan memulihara alam sekitar terbukti dengan peningkatan peruntukan EFT daripada RM150 juta pada 2023 kepada RM200 juta pada 2024 dan seterusnya RM250 juta untuk tahun ini.
“Melalui Majlis Kewangan Negara, Kerajaan MADANI menunjukkan komitmennya untuk bekerjasama dan memberikan sokongan berterusan kepada semua kerajaan negeri ke arah pembangunan Malaysia MADANI,” kata beliau.
Anwar berkata pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mencecah RM9.3 bilion pada 2024 dan ditingkatkan lagi dengan peruntukan RM9.8 bilion untuk tahun ini demi manfaat semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembangunan terangkum apabila projek pembangunan baharu yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2025 diselaraskan dengan mengambil kira keutamaan setiap kerajaan negeri.
Selain itu, peruntukan bagi program pertanian secara kerjasama dengan kerajaan negeri telah dilonjakkan kepada RM300 juta bagi tahun ini daripada RM150 juta pada 2024.
Mesyuarat Majlis Kewangan Negara diadakan setiap tahun menjadi platform rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri mengenai hal ehwal kewangan.
Mesyuarat itu dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta pegawai tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.
Antara lain yang hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut kelihatan termasuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
-- BERNAMA