AM

IBU NEKAD REDAH BANJIR BERSAMA BAYI BERUSIA 21 HARI

06/03/2025 09:25 PM

JASIN, 6 Mac (Bernama) --  Seorang wanita dalam pantang nekad meredah banjir bersama bayi perempuannya yang berusia 21 hari selepas rumah mereka di Kampung Kilang Berapi di sini dinaiki air akibat hujan lebat berterusan lebih tiga jam pagi tadi.

Nur Hijrah Jalaludin, 36, berkata ketika kejadian dia yang bersendirian bersama bayi itu segera menghubungi suami yang sedang bekerja untuk pulang ke rumah selepas melihat air dari sungai dan kolam tadahan berhampiran mula melimpah ke halaman kira-kira 8 pagi.

"Dalam keadaan pergerakan yang terbatas saya hanya memikirkan keselamatan anak dan selepas setengah jam kemudian, suami pulang dari tempat kerja lalu saya meredah air yang mencapai paras betis keluar dari kawasan rumah kami.

"Banjir hari ini kejadian kedua dihadapi kami (suami isteri) dalam tempoh empat bulan selepas Oktober lepas... pada masa itu saya sedang hamil dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya kepada pemberita di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau di sini hari ini.

Nur Hijrah yang memiliki tiga anak berkata dia menganggap banjir yang berlaku sebagai ujian terutama pada Ramadan dan bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat.

Sementara itu Nur Shuhada Kasim, 29, berkata dia telah menjangkakan banjir berlaku kerana sebelum ini mereka sekeluarga telah berdepan situasi sama beberapa bulan lepas. 

Nur Shuhada berkata dia melihat air di kawasan rumahnya mula naik perlahan-lahan kira-kira 8 pagi dan kemudian segera membawa ibunya yang berusia 69 tahun serta dua lagi anaknya berpindah ke PPS.

Suraya Unan, 54, pula berkata dia bergegas pulang ke rumah ibunya bagi membantu warga emas itu yang tinggal berseorangan untuk menyelamatkan barangan berharga selepas dimaklumkan kawasan rumah ibu dan adik beradik yang tinggal berhampiran mulai dinaiki air.

"Saya meminta izin kepada majikan untuk pulang membantu ibu memandangkan adik beradik lain juga menghadapi keadaan sama (rumah dinaiki air). Kawasan di sini sememangnya selalu dinaiki air, kali ini air naik hingga paras lutut," katanya.

Setakat 4 petang tadi, sebanyak 225 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Jasin dan satu di Melaka Tengah selepas 34 kawasan terjejas banjir akibat hujan lebat sejak 5 pagi hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan