AM

BUAYA TEMBAGA 'BERJEMUR' DI HUTAN PAYA BAKAU KINA BENUWA

08/03/2025 04:02 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 8 Mac (Bernama) -- Seekor buaya tembaga dianggar sepanjang lebih 2.5 meter dikesan ‘berjemur’ di kawasan popular Hutan Paya Bakau Kina Benuwa, kira-kira 10 pagi tadi.

Kehadiran reptilia berkenaan dikesan Ketua Kampung Sungai Buton Adnan Ahad, yang kemudian memaklumkan kepada Bernama.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Labuan mengesahkan buaya mendiami kawasan paya masin dan kawasan air tawar di Sungai Kina Benuwa, walaupun penemuan itu jarang berlaku.

"Walaupun jumlah sebenar buaya di kawasan paya ini tidak dapat dipastikan, kami yakin terdapat lebih daripada seekor.

“Berdasarkan saiznya, buaya berkenaan sudah mencapai usia matang. Jabatan kami bersama-sama pihak Perbadanan Labuan telah memasang papan tanda bagi memberi amaran kepada pengunjung tentang kehadiran reptilia ini di kawasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Buaya itu secara perlahan-lahan menghilang kira-kira 1 tengah hari apabila paras air sungai meningkat.

Jurucakap itu berkata pihak berkuasa tempatan akan terus memantau populasi reptilia itu di samping memastikan keselamatan awam dan usaha pemuliharaan alam sekitar kekal menjadi keutamaan.

Hutan Paya Bakau Kina Benuwa seluas lebih 60 hektar telah diwartakan secara rasmi sebagai hutan simpan kekal pada 11 Julai 2023.

Kawasan itu dijangka menjadi tarikan ekopelancongan utama, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan.

Selepas diwartakan, kawasan paya bakau itu telah menjalani proses naik taraf bernilai RM1.68 juta pada Oktober lepas antaranya pembinaan jambatan terapung, laluan pejalan kaki kayu, penambahbaikan landskap dan papan tanda berlampu untuk meningkatkan pengalaman pengunjung.

Penemuan buaya di kawasan paya itu telah dilaporkan beberapa kali oleh Bernama, menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemancing dan pengunjung yang sering ke kawasan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan