AM

MALAYSIA PERLU TANDATANGANI LAPAN PROTOKOL SEBELUM BOLEH GUNA TENAGA NUKLEAR - MOSTI

10/03/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lapan protokol ataupun konvensyen utama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) perlu ditandatangani dan diratifikasi sebelum Malaysia boleh menerokai penjanaan elektrik menggunakan tenaga nuklear pada masa hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata penggunaan teknologi nuklear, khususnya tenaga nuklear, tertakluk kepada pelbagai perjanjian konvensyen antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, setakat ini, Malaysia telah menandatangani dan meratifikasi beberapa protokol serta konvensyen penting, antaranya The Application of Safeguards in Connection with the Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons, The Convention on Early Notification of a Nuclear Accident, dan The Convention on Assistance in the Case of a Nuclear Accident or Radiological Emergency.

"Ada lagi yang belum diratifikasi dan ditandatangani, seperti Vienna Convention on Civil Liability for Nuclear Damage, Convention on Supplementary Compensation for Nuclear Damage, serta beberapa perjanjian lain.

"Bagi membolehkan perjanjian ini dimeterai, kerajaan akan menyegerakan dan memuktamadkan pewartaan Rang Undang-Undang Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Menurut Chang, proses dan peranan berkaitan akan dilaksanakan oleh MOSTI menerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) serta Kementerian Luar Negeri (KLN).

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Susan Chemerai Anding yang ingin mengetahui sejauh mana kerajaan telah meratifikasi perjanjian antarabangsa berkaitan penggunaan teknologi nuklear dan bila proses itu dijangka selesai.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai keseriusan negara dalam penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik, Chang berkata perkara itu masih di peringkat penerokaan.

"Kita masih belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu menggunakan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik atau tidak. Namun, kita perlu bersiap sedia supaya apabila keputusan dibuat, segala syarat dan keperluan mencukupi.

"Ini kerana penggunaan tenaga nuklear bukan sahaja memerlukan kepakaran dan tenaga mahir, tetapi juga pematuhan kepada pelbagai protokol serta konvensyen antarabangsa. Justeru, persiapan perlu dilakukan dari sekarang," katanya.

Chang turut memaklumkan Agensi Nuklear Malaysia kini mempunyai lebih 300 pegawai pakar dalam bidang nuklear dan bidang berkaitan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan