JERTIH, 10 Mac (Bernama) -- Polis Terengganu meluluskan 427 daripada 516 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata Kuala Terengganu mencatatkan bilangan pemohon tertinggi iaitu 180 tetapi hanya 157 permit diluluskan.
Mohd Khairi berkata polis masih mengekalkan syarat sama seperti sebelum ini iaitu hanya mercun tertentu dan bunga api dibenarkan untuk dijual dalam tempoh ditetapkan.
“Kita panggil semua pemohon yang berjaya dan beritahu mereka apa yang boleh serta tidak boleh. Contohnya hanya permit asal boleh dipamerkan, manakala salinan tidak dibenarkan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut hari ini.
Mohd Khairi berkata polis turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan penyimpanan mercun secara haram.
“Polis akan membuat operasi dan pemantauan secara berterusan termasuk melakukan sekatan jalan raya berkala ataupun operasi snap check di lokasi yang dirasakan perlu.
“Orang ramai juga dialu-alukan menyampaikan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui ada tempat penyimpanan mercun secara haram,” katanya.
-- BERNAMA