AM

ELAK GUNA BAHAN BERASASKAN PLASTIK UNTUK TANGLUNG MAASI MAGAM - EXCO

10/03/2025 08:46 PM

GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Penganut Hindu digesa untuk tidak menggunakan bahan berasaskan plastik untuk dijadikan tanglung semasa sambutan Maasi Magam atau Theppa Thiruvizha di Teluk Bahang, 12 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo berkata ini berikutan kedua-dua bahan itu antara penyebab utama pencemaran laut dan mengancam ekosistem marin.   

Beliau berkata secara tradisinya, ribuan penganut akan melepaskan tanglung berhias ke laut yang biasanya menggunakan bahan yang dibuat daripada stirofoam dan polisterin.

“Stirofoam dan polistiren tidak boleh terurai, menyebabkan haiwan laut seperti penyu kadang kala memakannya hingga mendatangkan kecederaan dan kematian,” katanya dalam kenyataan bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Penang Green Council (PGC), Hindu Sangam Malaysia Negeri Pulau Pinang (MHS) dan pengurusan Kuil Sri Singamuga Kaliamman di sini hari ini.

Sundarajoo berkata penggunaan lampu pelita semula jadi pada batang pisang dilihat pilihan lebih baik kerana ia bukan sahaja dapat terapung tetapi juga melalui proses biodegradasi, yang digunakan sejak kira-kira tiga dekad lepas dalam sambutan perayaan berkenaan.

Menurut beliau usaha mempromosikan kaedah alternatif itu turut dilakukan pengurusan kuil sejak beberapa tahun lepas dan tahun ini, ia sekali lagi dibuat sebagai galakan kepada penganut untuk memilih bahan yang mesra alam.

“Kita menggesa penganut Hindu untuk menggunakan bahan lebih mesra alam seperti pinggan diperbuat daripada upih pinang manakala sekam padi dan batang pokok pisang untuk mengapungkan lampu pelita.

“Memandangkan perayaan itu untuk kesyukuran, alam semula jadi dan laut atas rezeki yang dikurniakannya, maka sewajarnya pendekatan mesra alam diambil untuk menjadikan perayaan itu lebih bermakna,” katanya.

Perayaan Theppa Thiruvizha atau Festival Tanglung Terapung disambut meriah di Kuil Sri Singamuga Kaliamman di Teluk Bahang yang berusia 118 tahun dan menarik kunjungan ribuan penganut Hindu dari seluruh negara, saban tahun.

Magam merupakan satu daripada 27 bintang mengikut sistem astrologi Hindu dan perayaan itu disambut antara bulan Februari dan Mac untuk mendapat restu Dewi, yang dipercayai menjaga kawasan laut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan