AM

MANGSA BANJIR DI SABAH MENINGKAT KEPADA 4,555 ORANG MALAM INI

10/03/2025 08:55 PM

KOTA KINABALU, 10 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 4,555 orang daripada 1,493 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 4,159 orang daripada 1,362 keluarga pada 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan lapan PPS di Tenom menempatkan 1,162 orang daripada 435 keluarga.

Di Beaufort, empat PPS beroperasi dengan 1,719 mangsa daripada 556 keluarga manakala dua PPS di Membakut menempatkan 896 orang daripada 302 keluarga. 

Selain itu, dua PPS di Sook menempatkan 778 orang daripada 200 keluarga manakala dua PPS di Keningau telah ditutup dan mangsa dibenarkan pulang.

“Trend pemindahan mangsa banjir di Beaufort dan Membakut meningkat manakala di Sook dan Tenom kekal,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di SARAWAK kesemua empat PPS yang menempatkan 352 mangsa banjir di utara negeri itu ditutup hari ini setelah keadaan banjir pulih dan mangsa dibenarkan pulang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan PPS Dewan Masyarakat Trusan, PPS SJKC Chung Hwa dan PPS SK Lintang di Trusan, Lawas ditutup pada 10.30 pagi manakala PPS Dewan Masyarakat Medamit di Limbang ditutup 12.30 tengah hari.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan