AM

21 LOKASI DIKENAL PASTI UNTUK PEMBANGUNAN TAPAK PERPADUAN

10/03/2025 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) --  Kementerian Perpaduan Negara mengenal pasti 21 lokasi di seluruh negara yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak perpaduan.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata pembangunan tapak perpaduan itu akan dilaksanakan melalui Projek Pembangunan Ruang Sosial dan Ruang Fizikal di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Strata Kos Rendah.

“Antara cadangan projek adalah pembinaan dewan terbuka, pembinaan taman permainan kanak-kanak, pembinaan gazebo, sudut hijau, pusat kegiatan sukan, pusat kegiatan komuniti berpusat, perpustakaan komuniti dan pembinaan trek berjalan,” katanya dalam hantaran di aplikasi X. 

Terdahulu, beliau memaklumkan telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco- Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang pertama bagi tahun ini.

Aaron berkata antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah berkaitan pelaksanaan pemutihan 584 tanah premis perpaduan, pengurusan isu-isu perpaduan di peringkat akar umbi serta pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan 2025.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai Laporan Pencapaian Pelaksanaan Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif pada tahun lepas, yang menurutnya sebanyak 152 Rukun Tetangga dimodelkan sebagai penggerak komuniti progresif.

“Jumlah ini melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 116 Rukun Tetangga. Pelaksanaan projek ekonomi oleh komuniti Rukun Tetangga antara lain bertujuan membantu menjana pendapatan komuniti dan membantu mengurangkan kos sara hidup komuniti,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan