AM

PTPTN SANTUNI ANAK YATIM, ASNAF SEMPENA RAMADAN, SYAWAL

11/03/2025 01:06 PM

GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) -- Setiap kali tiba Ramadan dan Syawal, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah ketinggalan menyantuni golongan kurang bernasib baik melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata sejak dimulakan pada 2016, aktiviti pemberian sumbangan bantuan diteruskan dalam usaha meringankan beban mereka yang memerlukan, melalui Program Raikan Syawal PTPTN bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf.

“Untuk tahun ini, ia melibatkan dua aktiviti iaitu membeli-belah baju raya dan berbuka puasa. Sebanyak 50 orang anak yatim dan asnaf sekitar kawasan Bukit Gelugor diraikan pada Ahad lepas, dengan peruntukan RM200 seorang bagi membeli baju raya di Aeon Queensbay Mall.

“Pada hari ini pula PTPTN meraikan anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah (PKNA) dengan majlis berbuka puasa,” katanya pada Majlis Raikan Syawal PTPTN Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf Tahun 2025 di sini malam tadi. 

Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad, Pengasas dan Pengurus PKNA Rohani Hussainsa, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman dan pengurusan PTPTN.

Pada majlis itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,400 kepada 24 anak yatim dan asnaf, iaitu RM100 seorang dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime.

Mereka turut menerima tambahan sumbangan peribadi Norliza, juga dimasukkan ke akaun Simpan SSPN Prime, beg sekolah dan kuih raya sumbangan PTPTN.

Norliza berkata sumbangan itu diharapkan dapat memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak serta ibu bapa untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“PTPTN akan terus mempergiat pelbagai program dan aktiviti untuk kemajuan serta kesejahteraan masyarakat. Semoga amalan penabungan melalui Simpan SSPN dapat terus diperkasa demi kecemerlangan pendidikan anak-anak selari dengan moto PTPTN ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan