AM

PERKESO ANJURKAN EMPOWERHER CAREER FAIR, TAWAR 5,000 PELUANG PEKERJAAN

11/03/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi karnival kerjaya ‘EmpowerHer Career Fair’ yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 dan 15 Mac ini.

Karnival kerjaya dua hari anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu memberi tumpuan kepada penyediaan peluang pekerjaan dengan susunan aturan kerja anjal (FWA) bagi menyokong penyertaan wanita dalam dunia kerjaya.

PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan seimbang, sekali gus merancakkan pasaran buruh negara

“EmpowerHer Career Fair ini memberi pendedahan kepada wanita berkaitan fleksibiliti dalam waktu bekerja, yang mana mereka dapat menyesuaikan jadual kerja mengikut keperluan dan situasi peribadi tanpa menjejaskan prestasi kerja.

“Menerusi FWA, wanita akan lebih mudah mengimbangi komitmen antara kerja dan kehidupan peribadi mereka, sama ada untuk menjaga keluarga, mengejar pendidikan atau melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan,” menurut kenyataan itu. 

Karnival tersebut menawarkan jawatan seperti pengurus projek, pengurus perkhidmatan dan konsultan teknikal dengan gaji antara RM13,000 hingga RM16,000.

Antara majikan yang turut serta dalam karnival ini, ialah Jabatan Peguam Negara, Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia, Airbus Helicopters Malaysia, Baker Hughes, IHH Healthcare Malaysia, UiTM Private Specialist Centre dan Robert Bosch Sdn Bhd.

Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan, antaranya pemeriksaan kesihatan wanita oleh Majlis Kanser Negara dan SEHATi PERKESO, bimbingan kerjaya serta pameran daripada agensi kerajaan dan swasta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan