JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN LANCAR OPS CAMPUR, 300 KAMPIT BERAS DIRAMPAS

11/03/2025 02:28 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Campur bermula semalam, bagi tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pengilang serta pembungkus beras import berhubung isu campuran beras import dan tempatan.

Ia susulan pendedahan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) pada 26 Feb lepas yang mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata hasil hari pertama Ops Campur di seluruh negara menyaksikan 213 premis telah diperiksa dengan 48 kertas siasatan dibuka.

“Sebanyak 300 kampit beras dirampas manakala beberapa sampel telah disita untuk tindakan lanjut dan nilai rampasan sampel yang direkodkan ialah sebanyak RM15,321.40.

“Sitaan ini bertujuan sebagai pensampelan dan penentuan kuantiti yang akan dikemukakan ke MARDI dan Jabatan Kimia Malaysia,” katanya dalam sidang media khas berkenaan Ops Campur di sini hari ini.

Azman berkata Ops Campur juga bertujuan membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menambah baik industri padi dan beras negara sekali gus memastikan pengguna menggunakan bekalan beras yang sepatutnya (tanpa campuran) agar setimpal dengan harga yang dibayar.

Dijalankan dengan kerjasama MARDI dan Jabatan Kimia Malaysia, beliau berkata Ops Campur itu juga akan melibatkan pemeriksaan ke atas 2,000 premis pengilang dan pembungkus beras import seluruh negara dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

“Sasaran kita dalam masa terdekat lawat semua (periksa premis) sebab ada kepentingan untuk kita laksana segera. Ops Campur melibatkan 2,400 pegawai penguat kuasa yang diarahkan untuk ambil sampel dalam kadar segera,” katanya.

Penguatkuasaan Ops Campur merangkumi perundangan di bawah  Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta 730. 

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 730 dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali semalam dilaporkan berkata KPDN akan menguatkuasakan Seksyen 5 Akta 730 untuk mengenal pasti pihak bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras. 

Armizan berkata perkara itu termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan